TNB sasar sambung pusat data diluluskan ke grid elektrik dalam tempoh setahun

LocalBusiness & Finance
27 Oct 2026 • 4:47 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TNB sasar sambung pusat data diluluskan ke grid elektrik dalam tempoh setahun Image from: TNB sasar sambung pusat data diluluskan ke grid elektrik dalam tempoh setahun hamden27/10/2026 - 16:47

SINGAPURA 27 Okt - Tenaga Nasional Bhd (TNB) berjanji menghubungkan pusat data yang diluluskan kepada grid elektrik dalam tempoh setahun, ketika Malaysia memperkukuh rangkaian domestiknya bagi memenuhi peningkatan permintaan elektrik dan memperluas kesalinghubungan tenaga elektrik serantau.

 

Ketua Pegawai Rangkaian Pengagihan TNB, Ahmad Sazree Abd Aziz berkata, rangkaian penghantaran dan pengagihan domestik yang kukuh penting bagi memastikan Malaysia dapat meraih manfaat sepenuhnya daripada Grid Kuasa ASEAN (APG).

 

“APG membantu memperkukuh keselamatan bekalan elektrik serantau, tetapi pada masa sama, manfaat sebenar daripada APG bergantung pada sejauh mana kukuhnya rangkaian domestik, khususnya rangkaian penghantaran dan pengagihan,” katanya ketika sesi panel bertajuk “Memperkukuh Keselamatan Elektrik menerusi APG” pada Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) 2026 di sini, pada Selasa.

 

Ahmad Sazree berkata, TNB perlu seiring dengan peningkatan permintaan elektrik yang berpunca daripada pertumbuhan ekonomi, penggunaan kediaman dan komersial serta pusat data yang menggunakan tenaga secara intensif, sambil memastikan rangkaian kekal andal dan berdaya tahan.

 

Beliau berkata, tiga langkah praktikal penting dalam menyediakan rangkaian elektrik Malaysia untuk memenuhi peningkatan permintaan, iaitu ramalan permintaan, perancangan kapasiti rangkaian dan pembangunan infrastruktur bersasar.

 

“Bagi Malaysia, kita sememangnya berdepan tekanan dari segi pusat data.

 

“Justeru, sebaik sahaja projek pusat data diluluskan oleh jawatankuasa yang dipengerusikan kementerian, kami berikrar untuk menghubungkan pusat data itu kepada grid dalam tempoh setahun,” katanya.

 

Beliau berkata, TNB juga perlu memastikan rangkaian pengagihannya dimodenkan dan didigitalkan bagi memudahkan penyambungan tenaga boleh baharu pada peringkat pengagihan.

 

Selain itu, beliau berkata, perancangan permintaan dan bekalan secara bersepadu penting untuk meningkatkan penyelarasan antara rangkaian penghantaran dan pengagihan, sekali gus membolehkan sistem menampung peningkatan permintaan daripada pusat data serta integrasi tenaga boleh baharu.

 

Beliau berkata, penyelarasan antara ramalan permintaan, perancangan infrastruktur dan keutamaan pelaburan juga akan membantu memastikan pembangunan rangkaian memperkukuh keseluruhan sistem elektrik. - BERNAMA

 

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved