Gunung Jerai diharap kekal dalam kalendar LTdL akan datang

29 Sep 2026 • 10:25 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Gunung Jerai diharap kekal dalam kalendar LTdL akan datang

SUNGAI PETANI, 29 SEPT: Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berharap laluan pendakian ke Gunung Jerai dapat terus dikekalkan dalam kalendar perlumbaan berbasikal berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) pada masa hadapan.

Beliau berkata laluan ikonik di Kedah yang buat julung kali diperkenalkan pada tahun ini bukan sahaja menyajikan cabaran baharu kepada pelumba, malah mencetuskan keterujaan luar biasa dalam kalangan peminat sukan berbasikal tempatan.

"Insya-Allah. Kita harapkan semua ‘check point’ yang menarik ini dapat dikekalkan dan keterujaan itu dapat kita rasai secara bersama," katanya kepada pemberita pada majlis pelepasan Peringkat Ketiga LTdL (Sungai Petani-Kuala Kangsar) di Taman Jubli Perak, Sungai Petani di sini hari ini.

Terdahulu, pelumba Jerman Lennart Jasch melakar sejarah dalam LTdL selepas memenangi Peringkat Kedua dari Taiping ke Gunung Jerai semalam dengan pelumba Tudor Pro Cycling Team berusia 25 tahun itu mencatatkan masa tiga jam 37 minit 21 saat.

Mengulas mengenai edisi kali ini yang melibatkan jarak keseluruhan 1,285.5 kilometer (km), beliau berkata perlumbaan tersebut menampilkan keunikan tersendiri dengan menyajikan tiga zon penamat di laluan berbukit iaitu di Gunung Jerai, Genting Highlands dan Cameron Highlands.

Beliau menambah kemeriahan dan gerak kerja penganjuran LTdL akan terus diperkemas serta dipertingkat pada tahun hadapan, di samping memanfaatkan penganjuran kali ini bersama pihak Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Malaysia (MASOC) untuk mempromosikan Jelajah Sukan SEA 2027.

LTdL 2026 dijadualkan berakhir pada 4 Okt ini menerusi perlumbaan Peringkat Kelapan dari Muar ke Putrajaya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved