
BALIK PULAU – Polis mengesahkan lokasi penemuan seorang guru di sebuah Sekolah Agama Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Mohamad Hijazi Zamri, 26 di sebuah rumah di Kampung Bukit Payong, Pokok Sena, Kedah di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, pemeriksaan lanjut mendapati lelaki berusia 26 tahun itu berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.
“Hasil tindakan dan siasatan lanjut, pasukan polis berjaya mengesan mangsa yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Sungai Ara, kira-kira pukul 8.40 malam, 22 Ogos lalu.
“Mangsa kemudiannya dibawa ke Balai Polis Bayan Lepas untuk tindakan lanjut dan telah diserahkan kepada pihak keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di sini, tadi.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan misteri kehilangan seorang guru KAFA sejak lebih 70 jam akhirnya terjawab apabila dia ditemukan dalam keadaan selamat di Alor Setar, Kedah, malam tadi.
Perkara itu dikongsikan bapanya, Zamri Saidin, 53 kepada Kosmo! di sini berhubung penemuan anak sulung daripada tujuh beradik itu, kira-kira pukul 12 malam tadi.-KOSMO! ONLINE
The post Mohamad Hijazi dalam keadaan baik, tidak cedera – Polis appeared first on Kosmo Digital.






