
GEORGE TOWN : Seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Lilitan Sungai Ara, di sini Sabtu lalu akhirnya ditemui dalam keadaan selamat di sebuah rumah di Kampung Bukit Payong, Mukim Gajah Mati, Pokok Sena, Kedah, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab. Wahab berkata, ketika kejadian, lelaki tersebut, Mohamad Hijazi Zamri, 26, dikatakan keluar dengan menaiki motosikal jenis Yamaha LC135 berwarna biru sebelum tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi oleh ahli keluarganya.
“Hasil tindakan dan siasatan lanjut, polis berjaya mengesan mangsa di sebuah rumah di Kampung Bukit Payong dalam keadaan baik tanpa sebarang kecederaan fizikal.
“Mangsa kemudiannya dibawa ke Balai Polis Bayan Lepas untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada pihak keluarga setelah segala urusan berkaitan selesai,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, bapa mangsa, Zamri Saidin, 53, ketika dihubungi memanjatkan rasa syukur susulan penemuan anak sulung daripada tujuh beradik itu.
Katanya, dia sebelum itu menerima satu panggilan daripada seorang individu yang memaklumkan bahawa anaknya dijumpai sedang sedang merayau di Alor Setar, Kedah dalam keadaan yang tidak bermaya.
“Kawan-kawan dia juga yang jumpa. Mereka hubungi saya beritahu sudah jumpa Mohamad Hijazi. Saya ada bercakap dengan anak saya sedikit untuk mengesahkan berita itu dan Alhamdulillah, memang betullah dia telah dijumpai,” katanya.-UTUSAN
The post Guru KAFA hilang di Sungai Ara akhirnya dijumpai di Pokok Sena appeared first on Utusan Malaysia.






