Guru maut, tiga pelajar cedera kemalangan

8 Oct 2026 • 6:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Guru maut, tiga pelajar cedera kemalangan
Kemalangan berlaku di Beluran.

BELURAN - [DIKEMAS KINI] Seorang guru maut manakala tiga lagi pelajar bersamanya cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Pamol, Sapi Nangoh di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa yang belum diketahui identiti sebelum itu dilaporkan cedera parah sebelum dikatakan telah meninggal dunia.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, NurAzlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.23 tengah hari.

Katanya, seramai lima anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 104 kilometer dari BBP Beluran.

"Sebaik tiba di lokasi, kemalangan melibatkan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan dan kenderaan utiliti lasak (SUV) jenis Perodua Aruz.

"Mangsa seramai empat orang di dalam Toyota Hilux dilaporkan mengalami cedera ringan dan tidak memerlukan rawatan lanjut.

"Namun pemandu Perodua Aruz yang merupakan seorang guru berusia 25 tahun dilaporkan parah manakala tiga lagi penumpang iaitu pelajar mengalami kecederaan ringan," katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, kesemua mangsa yang mengalami kecederaan telah diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Nangoh untuk rawatan lanjut.

"Tiada operasi penyelamatan dijalankan oleh pasukan bomba di lokasi kerana kesemua mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum anggota tiba.

"Pasukan bomba hanya menjalankan pemantauan serta mendapatkan maklumat berkaitan kejadian.

"Setelah memastikan keadaan di lokasi adalah selamat dan terkawal, operasi ditamatkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Beluran, Superintenden Hasan Majid mengesahkan mangsa meninggal dunia di Klinik Kesihatan Nangoh.

"Mangsa yang maut merupakan guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai-Sungai, Paitan dan ketika kejadian dia bersama tiga murid dari sekolah yang sama.

"Mereka dalam perjalanan dari arah Paitan sebelum bertembung dengan pacuan empat roda tersebut," katanya.

Katanya, kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved