hamden04/11/2026 - 09:52 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Nov - GDB Holdings Bhd (GDB) berdepan ujian keupayaan pengurusan projek dan kedudukan modal kerja apabila kumpulan itu bakal melaksanakan tiga projek berskala besar secara serentak, susulan memperoleh kontrak pembinaan hab logistik bernilai RM877 juta di Seksyen 15, Shah Alam.
Tiga projek berkenaan ialah Wolo Hotel & Residences Mont Kiara KL, ParkCity Residences dan pembangunan hab logistik baharu itu, yang dijangka menguji keupayaan Kumpulan mengurus pelaksanaan projek serta keperluan modal kerja sepanjang tempoh pembinaan.
JF Apex Securities berpandangan penganugerahan kontrak terbaharu itu sebagai perkembangan positif kepada GDB, namun peningkatan aktiviti pembinaan secara serentak memerlukan keupayaan pengurusan projek dan kewangan yang mencukupi bagi memastikan semua projek dapat disiapkan mengikut jadual.
"Kontrak bernilai RM877 juta itu merupakan projek hab logistik terbesar dalam sejarah GDB dan diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Grand Dynamic Builders Sdn Bhd, daripada Rochester Logistics Asset 2 Sdn Bhd.
"Skop kerja merangkumi perobohan kilang sedia ada serta pembinaan dua bangunan hab logistik lima tingkat yang dilengkapi pejabat mezanin, sebuah kafeteria tiga tingkat dan kemudahan sokongan di PT 845, Jalan 15/23, Seksyen 15, Shah Alam," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Projek yang bermula pada 4 November 2026 itu mempunyai tempoh pelaksanaan selama 34 bulan dan dijadualkan siap pada 3 September 2029.
GDB bercadang membiayai kontrak berkenaan menerusi dana yang dijana secara dalaman dan/atau pinjaman bank.
Potensi keuntungan
Menurut JF Apex Securities, dengan mengandaikan margin keuntungan selepas cukai (PAT) secara konservatif sekitar 5%, kontrak itu berpotensi menyumbang kira-kira RM43.9 juta kepada PAT terkumpul, bersamaan purata RM15.5 juta setahun sepanjang tempoh pelaksanaan 34 bulan.
Jumlah itu mewakili kira-kira 17.3% daripada anggaran keuntungan bersih teras FY27F penganalisis.
Bagaimanapun, risiko pelaksanaan dilihat terkawal berdasarkan rekod GDB yang berjaya menyerahkan projek lebih awal daripada jadual, termasuk Metrohub 4 yang disiapkan pada 9 Julai 2026, iaitu 45 hari lebih awal, serta Hospital Antarabangsa Kuala Lumpur yang diserahkan lima hari lebih awal pada 10 Ogos 2026.
Buku tempahan tertunggak GDB kini meningkat kepada paras rekod kira-kira RM2.93 bilion, bersamaan 3.9 kali hasil FY25, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan sehingga FY2031.
Kemenangan kontrak terkumpul sejak awal tahun (YTD) berjumlah RM2.69 bilion, merangkumi ParkCity Residences bernilai RM1.017 bilion, hab logistik Shah Alam (RM877 juta), Wolo Hotel & Residences Mont Kiara KL (RM439.4 juta), kerja-kerja jalan raya di Sarawak (RM121.4 juta), subkontrak projek ramalan banjir PRAB Fasa 3 (RM119 juta) serta loji rawatan air di Song (RM115.5 juta).
Selain itu, buku tender GDB berjumlah kira-kira RM2.5 bilion, merangkumi projek berpotensi dalam sektor perindustrian, pusat data, komersial, pembangunan bercampur, infrastruktur dan kediaman.
Andaian penambahan buku pesanan bagi FY27 dan FY28 pula dikekalkan masing-masing pada RM900 juta.
Sehubungan itu, JF Apex Securities menaikkan unjuran pendapatan GDB bagi FY26F, FY27F dan FY28F masing-masing sebanyak 2.3%, 14.5% dan 15.4% kepada RM76.8 juta, RM89.4 juta dan RM83.3 juta.
Firma itu mengekalkan saranan BELI terhadap GDB dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM0.77 daripada RM0.67, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 9.5 kali ke atas perolehan sesaham (EPS) FY28F sebanyak 8.1 sen. - DagangNews.com






