Pembelian bangunan RM331.8 juta di Singapura berisiko tekan kewangan Mi Technovation, kata JF Apex Securities

Business & Finance
3 Nov 2026 • 10:53 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pembelian bangunan RM331.8 juta di Singapura berisiko tekan kewangan Mi Technovation, kata JF Apex Securities Image from: Pembelian bangunan RM331.8 juta di Singapura berisiko tekan kewangan Mi Technovation, kata JF Apex Securities hamden03/11/2026 - 10:53 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Nov - Pembelian bangunan industri bernilai RM331.8 juta oleh Mi Technovation Berhad (Mi Tech) di Singapura berpotensi meningkatkan tekanan kewangan kumpulan, khususnya terhadap Unit Perniagaan Teknologi Kenderaan (VTBU) yang masih mencatatkan kerugian.

 

JF Apex Securities berkata, ini kerana penjimatan sewa tahunan yang dijangka diperoleh menerusi pemilikan bangunan berkenaan hanya sekitar RM1.05 juta, jauh lebih rendah berbanding kos pembiayaan tahunan sebanyak RM6.6 juta.

 

Keadaan itu katanya, menyebabkan kos pembiayaan bersih negatif kira-kira RM5.5 juta setahun selepas bangunan mula diduduki, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pulangan kewangan jangka pendek daripada pemerolehan berkenaan.

 

Firma penyelidikan itu berpandangan walaupun pembelian KHL Building di 25 New Industrial Road, Singapura, pada harga S$103.88 juta (RM331.8 juta) dianggap berpatutan berdasarkan penilaian hartanah, keperluan modal VTBU serta implikasi kos pembiayaannya perlu dipantau dengan teliti.

 

"Malah, keluasan lantai kasar bangunan baharu itu sebanyak 111,389 kaki persegi (10,348 meter persegi) adalah 18.2 kali lebih besar berbanding ibu pejabat VTBU sedia ada yang disewa seluas 568 meter persegi di Queenstown, Singapura," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Pemerolehan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Ohima International Pte Ltd itu bertujuan menjadikan bangunan berkenaan sebagai ibu pejabat global VTBU dan hab operasi kumpulan, merangkumi pusat data dan pengkomputeran utama, pusat teknologi kembar digital dan kecerdasan buatan (AI), penyelidikan produk, jualan, pemasaran serta operasi kewangan dan perundangan global.

 

Peningkatan perbelanjaan modal pada 2027 merentasi tiga lokasi

Bagaimanapun, JF Apex Securities turut menyorot penggunaan dana hasil penyenaraian Mi Material apabila sebanyak RM98.2 juta, bersamaan 69.1% daripada hasil bersih penjual Mi Tech berjumlah RM142.2 juta, akan disalurkan semula daripada perniagaan Unit Perniagaan Bahan Semikonduktor (SMBU) yang menguntungkan kepada VTBU yang masih mengalami kerugian.

 

Perkara itu menjadi lebih penting apabila pihak pengurusan memberi petunjuk mengenai peningkatan perbelanjaan modal pada 2027 merentasi tiga lokasi, selain mengakui pembiayaan semasa tidak mencukupi untuk memenuhi keseluruhan keperluan peluasan Ohima.

 

Sehubungan itu, keperluan modal VTBU menjadi antara perkara utama yang perlu diperhatikan menjelang suku pertama 2027 (1Q27), khususnya dari segi kemampuan kumpulan membiayai peluasan operasi tanpa menambah tekanan terhadap kedudukan kewangannya.

 

Mi Technovation memeterai perjanjian jual beli (SPA) bersyarat pada 30 Oktober 2026 untuk memperoleh KHL Building, sebuah bangunan perindustrian ringan tujuh tingkat berstatus pegangan bebas yang berusia kira-kira 24 tahun.

 

Harga pemerolehan S$103.88 juta itu dinilai berpatutan pada S$933 bagi setiap kaki persegi keluasan lantai kasar, hampir setara dengan penjualan bangunan pegangan bebas B1 Fujifilm bersebelahan pada April 2026, yang mencatatkan harga kira-kira S$943 bagi setiap kaki persegi.

 

Di sebalik cabaran kos pembiayaan dan keperluan modal VTBU, prestasi operasi kumpulan dijangka menunjukkan peningkatan pada suku keempat tahun kewangan 2026 (4QFY26).

 

Penganalisis menjangkakan 4QFY26 menjadi suku terkuat bagi tahun kewangan berkenaan, disokong kemuncak permintaan bermusim SMBU serta penghantaran produk Unit Perniagaan Peralatan Semikonduktor (SEBU) bernilai RM30 juta hingga RM40 juta yang ditangguhkan dari September ke Oktober.

 

Unjuran untung bersih dinaikkan

Pihak pengurusan turut menjangkakan hasil 4QFY26 meningkat antara 68% hingga 81% tahun ke tahun (YoY), manakala unjuran penganalisis sebanyak RM267.9 juta, meningkat 73.6% YoY, berada dalam julat berkenaan.

 

Susulan prospek itu, penganalisis menaikkan unjuran keuntungan bersih teras Mi Tech bagi FY2026 sebanyak 8.2% kepada RM209.4 juta berbanding RM193.6 juta sebelum ini, selepas menggunakan margin segmen 9MFY26 bagi suku keempat.

 

Bagaimanapun, unjuran keuntungan bersih teras FY2027 dan FY2028 dikekalkan hampir tidak berubah masing-masing pada RM195 juta dan RM211.9 juta.

 

Ini mengambil kira kos pembiayaan pemerolehan KHL serta kerugian lebih besar daripada STBU dan VTBU yang diimbangi margin SEBU lebih tinggi.

 

Penganalisis mengekalkan saranan PEGANG terhadap saham Mi Tech dengan harga sasaran sedikit rendah pada RM6.99 berbanding RM7.04 sebelum ini, berdasarkan kaedah penilaian jumlah bahagian (SOP). - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved