
Pasangan yang menjadi sebutan ramai selepas tular video mereka membawa anak kecil berusia 11 bulan yang menggunakan alat pernafasan menaiki motosikal tidak lama dulu, difahamkan sudah selamat bernikah pada Selasa lalu.
Menurut mStar, Mohd Azlan Ishak dan Nor Hidayu Halim mahu membuka lembaran baru setelah kisah ‘gelap’ mereka menjadi bualan ramai.
Hidayu, 35, berkata, dia kini berasa lega apabila sah bergelar isteri kepada Azlan, 36, sekali gus menjernihkan semula keadaan.

Artikel berkaitan: “Jika semua selesai hari ini, esok saya akan akad nikah” – Bapa Bayi Guna Alat Pernafasan
Artikel berkaitan: “Saya tahu ia dosa besar” – Ramai Salah Anggap & Buat Tuduhan, Bapa Bayi Pakai Alat Pernafasan Akhirnya Bersuara
Kata wanita ini lagi, sepanjang tempoh berkenalan dengan Azlan, pelbagai tanggapan dilontarkan penduduk sekitar kepadanya dan ia tanpa sedikit pun cuba memahami kehidupan serba daif yang dilalui mereka berdua.
Selesai je lafaz akad nikah dan semuanya sah, saya terus tarik nafas lega, tamat juga kemelut yang membebani saya dan suami selama ni. Walaupun banyak rintangan, syukur Allah permudahkan satu per satu.
“Saya harap orang ramai dapat berhenti mencerca dan berikan kami ruang untuk memulakan kehidupan baharu. Selepas habis majlis, ada juga beberapa individu yang sapa kami dan meminta maaf.
“Kami terima dengan hati terbuka kerana kami pun banyak kesilapan sebelum ini,” kata Hidayu.
Nak guna duit sumbangan untuk keperluan anak
Hidayu juga mengucapkan ribuan terima kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyalurkan sumbangan kepada anaknya, Aariz Zafran.
Kutipan yang berjumlah RM100,000 katanya akan digunakan semua untuk Aariz dengan memasang penyaman udara dan menyiapkan bilik yang selesa untuk kanak-kanak itu di rumah mereka.
Kami akan belikan Aariz pakaian dan kelengkapan bayi yang mencukupi, antara yang kami tengah fikir adalah kereta sorong (stroller) dan botol susu. Kami mahu Aariz hidup senang seperti kanak-kanak lain, dah lama dia asyik susah je.
“Seterusnya untuk menampung kos ubat-ubatan Aariz dalam jangka masa panjang, sebab penyakit Aariz ni tidak boleh dirawat terus. Ia akan sembuh sendiri apabila dia meningkat dewasa, buat waktu ini doktor hanya pantau dari semasa ke semasa,” kata Hidayu.

Menurut Azlan pula, isterinya itu mempunyai empat orang cahaya mata dengan bekas suami dan jika termasuk dengan Aariz, mereka kini mempunyai lima tanggungan.
Malah sebelum ini juga, anak keempat yang berumur 4 tahun duduk dengan mereka dan selebihnya tinggal di rumah ibu mertuanya.
Disebabkan kini mereka sudah berkemampuan dengan bantuan orang ramai, Azlan bercadang untuk membawa kesemua anak-anak tiri tinggal sebumbung dengannya. Lebih menyedihkan, anak sulung isteri yang berusia 17 tahun merupakan orang kurang upaya (OKU) akibat cerebral palsy.

“Saya sayang semua anak tiri saya, sama macam saya sayang Aariz. Anak-anak tiri pun menerima dan menghormati saya sebagai ayah tiri mereka. Antara yang buat saya tersentuh hati, kalau nak keluar ke mana-mana mereka selalu minta izin saya dulu.
“Kami adalah satu keluarga besar dan merupakan tanggungjawab saya untuk menjaga kebajikan mereka semua,” katanya lagi.
Kita doakan semoga urusan keluarga ini dipermudahkan.
Sumber: mStar
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.


