
BATU PAHAT – Seorang lelaki warga emas rugi RM325,951.33 selepas ditipu oleh seorang wanita tidak dikenali kononnya ingin membantu mencairkan semula akaun bank miliknya yang telah dibekukan oleh pihak Bank Negara Malaysia (BNM).
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, lelaki berusia 75 tahun itu pada awalnya telah menerima panggilan daripada wanita pada awal bulan Mei tahun ini yang menyatakan akaun bank milik mangsa berhadapan masalah dan akan diambil tindakan oleh pihak BNM sekiranya tidak memberikan kerjasama dalam urusan mencairkan semula akaunnya itu.
Katanya, wanita itu turut menjanjikan bahawa semua duit yang diminta itu akan dipulangkan semula selepas urusan mencairkan semula akaun milik lelaki itu berjaya dilakukan.
“Bimbang dengan amaran dari wanita itu serta percaya dengan janji diberikan, lelaki warga emas itu kemudiannya bersetuju membuat pembayaran melalui lapan transaksi ke dalam lapan akaun bank berbeza bermula Mei hingga November tahun ini berjumlah RM325,951.33.
“Bagaimana pun, selepas selesai membuat bayaran itu, lelaki warga emas berkenaan baru menyedari dirinya tertipu selepas wanita yang menghubunginya gagal dihubungi malah talian telefonnya disekat oleh suspek,”katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Shahrulanuar lagi, lelaki itu kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat dan kes akan disiasat mengikut Seksyen Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu.
Ujarnya, pihak polis sudah banyak kali menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan panggilan daripada orang yang tidak dikenali dan membuat pengakuan atau dakwaan melibatkan tindakan daripada jabatan atau agensi kerajaan, namun ia tetap berlaku apabila mamgsa tidak terlebih dahulu membuat pengesahan lanjut daripada jabatan atau agensi berkaitan. – KOSMO! ONLINE
The post Habis RM300,000 baru sedar kena tipu appeared first on Kosmo Online.




![[KEMAS KINI] Tayar lori pecah punca nahas ragut nyawa suami isteri](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/nahas-kemalangan-1024x768.jpeg)

