Samun kedai emas, RM300,000 lesap

12 Nov 2026 • 4:03 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Samun kedai emas, RM300,000 lesap

KUALA NERUS: Seorang pekerja kedai emas berdepan detik cemas apabila dua lelaki bersenjatakan parang mengugutnya sebelum melarikan tiga dulang gelang tangan emas bernilai kira-kira RM300,000 dalam kejadian samun di Batu Enam, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 pagi itu, kedua-dua suspek yang memakai topi keledar jenis full face bertindak mengugut pekerja berkenaan sebelum mengarahkannya membuka tempat penyimpanan barang kemas.

Pekerja kedai emas berkenaan, Juliana Zakaria, 31, berkata, ketika kejadian dia sedang melayan seorang pelanggan sebelum didatangi dua lelaki terbabit.

Menurutnya, dia yang terkejut dengan tindakan suspek hanya mampu mengikut arahan mereka kerana bimbang keselamatan diri.

“Mereka mengacukan parang sambil menjerit ‘Mu buka, mu buka’ supaya saya membuka tempat menyimpan barang kemas.

“Saya masih terkejut dengan kejadian itu sehingga badan menggigil. Saya tidak sangka perkara seperti ini berlaku ketika sedang bekerja,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Juliana berkata, dia baru empat hari bekerja secara sambilan di kedai emas berkenaan dan kejadian itu merupakan pengalaman paling menakutkan sepanjang bekerja di situ.

Pemilik kedai emas berkenaan, Tuan Rahmatullah Tuan Besar pula berkata, premis tersebut sudah beroperasi selama lima tahun dan kejadian samun bersenjata itu merupakan insiden pertama berlaku.

Katanya, kejadian berkenaan menyebabkan pihaknya perlu menilai semula aspek keselamatan premis bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Saya anggarkan kerugiaan dalam RM300,000 memandangkan stok barang kemas baru sampai semalam.

“Selepas ini, kami akan memberi lebih perhatian kepada aspek keselamatan termasuk mempertimbangkan pemasangan jeriji di premis,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 10.46 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati dua lelaki dipercayai berbangsa Melayu terlibat dalam kejadian berkenaan dengan salah seorang daripada mereka membawa parang.

Katanya, kejadian berlaku dengan pantas dalam tempoh kurang seminit ketika terdapat empat pekerja berada di dalam premis berkenaan.

“Suspek melarikan tiga dulang barang kemas yang anggaran nilainya masih dalam siasatan sebelum melarikan diri menggunakan sebuah kereta,” katanya.

Beliau berkata, polis kini giat mengesan kedua-dua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

Katanya, kes berkenaan diberi perhatian sewajarnya oleh pihak IPD dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, manakala usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan. – UTUSAN 

The post Samun kedai emas, RM300,000 lesap appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved