hamden11/11/2026 - 18:22 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Nov – MMAG Holdings Berhad memperoleh semula akses kepada akaun bank kumpulannya yang sebelum ini dibekukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), selepas sekatan terhadap akaun terjejas itu ditarik balik.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata sekatan pembekuan yang dikenakan terhadap akaun berkenaan kini telah ditarik balik.
Perkembangan itu menamatkan sekatan ke atas beberapa akaun bank kumpulan yang mula dibekukan secara berperingkat antara Oktober hingga November 2025.
MMAG sebelum ini pada 10 Mac 2026 mendedahkan bahawa akaun berkenaan telah dibekukan lebih 90 hari, namun kumpulan itu tidak menerima sebarang perintah pembekuan dan tidak mengetahui butiran khusus mengenai tindakan berkenaan.
Kumpulan itu berkata pihaknya hanya menyedari akaun tersebut dibekukan apabila berdepan kesukaran membuat pembayaran bagi perbelanjaan operasi.
Bagaimanapun, MMAG mengambil langkah menggunakan akaun bank lain yang tidak terjejas bagi memastikan operasi harian kumpulan dapat diteruskan tanpa gangguan.
Akses kepada akaun lain
Dalam penjelasan lanjut pada 17 Mac 2026, kumpulan itu berkata operasi perniagaan tidak mengalami gangguan ketara kerana masih mempunyai akses kepada akaun bank lain untuk memenuhi keperluan operasi.
MMAG turut menjelaskan bahawa pihaknya telah mendapatkan penjelasan daripada pihak berkuasa sebaik menyedari pembekuan berkenaan, namun tidak menerima sebarang maklumat lanjut pada masa itu.
Syarikat itu sebelum ini juga mengakui bahawa sekatan berpanjangan berpotensi menjejaskan keyakinan pihak berkepentingan serta persekitaran perniagaan kumpulan, meskipun tiada kesan material terhadap operasi direkodkan ketika itu.
Pendedahan awal mengenai pembekuan akaun dibuat pada 10 Mac 2026 selepas isu berkenaan turut mendapat perhatian susulan laporan media berkaitan pembekuan akaun bank MMAG dan NexG Bina Berhad. - DagangNews.com






