
KUALA LUMPUR: Kemampuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menguruskan ekonomi dan kewangan negara secara konsisten dapat dilihat dalam keupayaan menjaga disiplin fiskal dan memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan rakyat.
Perkara itu dapat dilihat susulan keputusan kerajaan mengembalikan had kelayakan bulanan Budi Madani RON95 (BUDI95) dan Budi Madani Diesel (BUDI Diesel).
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM MAPAN), Dr. Mashitah Mohd. Udin berkata, keputusan berkaitan BUDI95 dan BUDI Diesel wajar dilihat dalam konteks yang lebih luas, khususnya dari sudut pengurusan fiskal, kestabilan ekonomi dan kebajikan rakyat.
Beliau berkata, pengembalian atau penyesuaian had kelayakan sememangnya memberi kelegaan kepada sebahagian rakyat, namun pada masa sama, kerajaan perlu memastikan langkah tersebut dapat dilaksanakan secara mampan tanpa memberi tekanan berlebihan kepada kedudukan kewangan negara.

“Sama ada keputusan ini dipengaruhi oleh pertimbangan ekonomi semata-mata atau turut mengambil kira perkembangan politik dan pilihan raya, yang lebih penting ialah keberkesanan pelaksanaannya.
“Ini termasuk dalam ketelusan dasar serta sejauh mana manfaat benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran,” katanya hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan berkata, keputusan kerajaan mengembalikan had kelayakan bulanan Budi Madani RON95 (BUDI95) dan Budi Madani Diesel (BUDI Diesel), dibuat selepas mengambil kira prestasi ekonomi dan kemampuan kewangan negara.
Kementerian Kewangan berkata, antara faktor lain diambil kira sebelum mengambil keputusan itu adalah disebabkan pengurusan bekalan yang semakin tersusun serta penguatkuasaan yang lebih tegas.
Kementerian Kewangan berkata, kerajaan akan terus memastikan subsidi bahan api disalurkan kepada rakyat Malaysia yang layak, sambil memperkukuh usaha membendung ketirisan, penyeludupan dan penyalahgunaan.
Mengulas lanjut, Mashitah berkata, prestasi sesebuah kerajaan bukan hanya dinilai melalui satu keputusan atau bantuan tertentu, tetapi melalui keupayaan mengurus ekonomi secara konsisten, menjaga disiplin fiskal dan memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan rakyat.
Dalam konteks ini, katanya, sokongan atau kritikan terhadap kerajaan sewajarnya berasaskan prestasi, data dan hasil dasar, bukan semata-mata sentimen politik. – UTUSAN
The post Had BUDI Madani naik: PM urus ekonomi secara konsisten, pertumbuhan ekonomi diterjemah kesejahteraan rakyat – Penganalisis appeared first on Utusan Malaysia.




