Had BUDI95: PM urus ekonomi secara konsisten, pertumbuhan ekonomi diterjemah kesejahteraan rakyat - Penganalisis

LocalPolitics
3 Sep 2026 • 5:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Had BUDI95: PM urus ekonomi secara konsisten, pertumbuhan ekonomi diterjemah kesejahteraan rakyat - Penganalisis
Mashitah berkata prestasi sesebuah kerajaan bukan hanya dinilai berdasarkan satu-satu keputusan atau bantuan tertentu, sebaliknya melalui keupayaan mengurus ekonomi secara konsisten. Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR - Kemampuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengurus ekonomi dan kewangan negara secara konsisten dapat dilihat melalui usaha menjaga disiplin fiskal serta memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan rakyat.

Perkara itu antara lain dapat dilihat susulan keputusan kerajaan mengembalikan had kelayakan bulanan Budi Madani RON95 (BUDI95) dan Budi Madani Diesel (BUDI Diesel).

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM MAPAN), Dr Mashitah Mohd Udin berkata, keputusan berkaitan BUDI95 dan BUDI Diesel wajar dilihat dalam konteks lebih luas, khususnya dari sudut pengurusan fiskal, kestabilan ekonomi dan kebajikan rakyat.

Beliau berkata pengembalian atau penyesuaian had kelayakan sememangnya memberi kelegaan kepada sebahagian rakyat, namun pada masa sama kerajaan perlu memastikan langkah berkenaan dapat dilaksanakan secara mampan tanpa memberi tekanan berlebihan terhadap kedudukan kewangan negara.

“Sama ada keputusan ini dipengaruhi pertimbangan ekonomi semata-mata atau turut mengambil kira perkembangan politik dan pilihan raya, yang lebih penting ialah keberkesanan pelaksanaannya.

“Ini termasuk ketelusan dasar serta sejauh mana manfaat benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran,” katanya hari ini.

Had kelayakan asas bulanan BUDI MADANI dinaikkan semula daripada 200 kepada 300 liter bermula 1 September lalu.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan pelarasan itu melibatkan BUDI95 dan BUDI Diesel pada harga subsidi RM1.99 seliter bagi RON95 dan RM2.10 seliter bagi diesel.

Kementerian itu menjelaskan, antara faktor lain yang dipertimbangkan ialah pengurusan bekalan yang semakin tersusun serta penguatkuasaan yang lebih tegas.

Kerajaan juga akan terus memastikan subsidi bahan api disalurkan kepada rakyat Malaysia yang layak, selain memperkukuh usaha membendung ketirisan, penyeludupan dan penyalahgunaan.

Mengulas lanjut, Mashitah berkata prestasi sesebuah kerajaan bukan hanya dinilai berdasarkan satu-satu keputusan atau bantuan tertentu, sebaliknya melalui keupayaan mengurus ekonomi secara konsisten, menjaga disiplin fiskal serta memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan rakyat.

Dalam konteks itu, katanya, sokongan atau kritikan terhadap kerajaan sewajarnya berasaskan prestasi, data dan hasil dasar, bukan semata-mata sentimen politik. - Awani

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved