Had perlindungan bil elektrik naik 800 kWj, berkuat kuasa hingga hujung tahun

LocalBusiness & Finance
17 Sep 2026 • 8:15 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

Had perlindungan bil elektrik naik 800 kWj, berkuat kuasa hingga hujung tahun

KUALA LUMPUR – Isi rumah yang menggunakan elektrik sehingga 800 kilowatt-jam (kWj) sebulan kini akan dilindungi daripada beberapa caj berkaitan bil elektrik selepas kerajaan menaikkan had perlindungan daripada 600 kWj berkuat kuasa bagi penggunaan mulai September hingga 31 Disember ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu diambil sebagai langkah segera susulan peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah ketika negara berdepan keadaan jerebu dan cuaca lebih panas kebelakangan ini.

Di bawah penambahbaikan itu, pengguna domestik dengan penggunaan tidak melebihi 800 kWj sebulan akan menikmati pengecualian Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA), Caj Peruncitan serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Langkah itu diambil sebagai tindakan segera bagi menangani tekanan hidup rakyat saat ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Anwar, cuaca panas dan jerebu menyebabkan sebahagian isi rumah meningkatkan penggunaan elektrik sehingga melepasi paras perlindungan 600 kWj sebelum ini, sekali gus menyumbang kepada kenaikan bil yang luar biasa.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Suruhanjaya Tenaga atas kerjasama membolehkan langkah berkenaan dilaksanakan dengan segera.

Kerajaan juga akan terus memantau perkembangan kos bahan api dan keadaan pasaran tenaga semasa dalam menentukan sebarang keputusan berkaitan tarif elektrik.

Pemantauan itu, menurut Anwar, penting bagi memastikan keseimbangan antara kemampuan rakyat dan kos sara hidup dengan keterjaminan bekalan elektrik serta kemampanan sektor tenaga negara.

The post Had perlindungan bil elektrik naik 800 kWj, berkuat kuasa hingga hujung tahun appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved