Kerjasama di Melaka lebih mudah berbanding Johor – Abdul Hadi

LocalPolitics
22 Aug 2026 • 6:48 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kerjasama di Melaka lebih mudah berbanding Johor – Abdul Hadi

MARANG: Pas yang menerajui Perikatan Nasional (PN) percaya proses rundingan dan kerja­sama politik atas nama Perpaduan Ummah dengan Barisan Nasio­nal (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, lebih mudah berbanding PRN Johor.

​Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sehingga kini wakil kedua-dua buah gabungan masih dalam perbinca­ngan dan beliau difahamkan BN masih berbelah bahagi, namun majoriti termasuk Ketua Pemudanya serta akar umbi, berse­tuju bekerjasama dengan PN.

Kata beliau, keyakinan itu juga bersandarkan kepada maklum balas serta respons positif selepas keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan, selain mengambil kira senario politik semasa negara.

“Insya-Allah boleh. Kalau Johor lebih rumit, Melaka lebih mudah,” katanya selepas me­nyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini, semalam.

Beliau ditanya perkemba­ngan rundingan antara PN dan BN termasuk sama ada agenda perpaduan Melayu yang dibawa Pas boleh diterjemah dalam PRN Melaka.

Ditanya pendirian Pas sekiranya BN memilih bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRN Melaka, beliau enggan mengulas lanjut memandangkan tiada sebarang keputusan rasmi dimuktamadkan setakat ini.

“Itu nanti berlaku dululah. Benda tidak berlaku lagi, saya tidak boleh katalah. Nanti dulu. Sehingga hari ini belum ada keputusan,” katanya.

Ditanya apakah Pas ada stra­tegi lain jika kerjasama dengan BN tidak berjalan seperti dirancang, beliau berkata: “Ada, nanti kita fikirlah.”

Dalam pada itu, Abdul Hadi menyifatkan empat pemimpin Melayu dalam DAP yang me­ngatakannya tidak menghasilkan artikel berilmiah, sebalik­nya mengeksploitasi Islam demi kepentingan politik sebagai ‘Melayu tidak belajar’.

Katanya, sebarang kenyataan atau tulisan beliau adalah berlandaskan al-Quran dan hadis selain berdasarkan apa yang terkandung dalam perlembagaan DAP serta kenyataan pemimpin mereka.

“Apa yang saya cakap dan tulis bernaskan al-Quran dan hadis. Saya cakap apa ada dalam perlembagaan DAP dan apa kenyataan pemimpin mereka,” katanya.

Sebelum ini, empat pemim­pin DAP mempersoal kritikan Abdul Hadi terhadap parti itu sedangkan Pas pernah bekerjasama dengannya dan menghadapi beberapa pilihan raya bersama.

Mereka ialah Naib Pengerusi DAP Syahredzan Johan; Penolong Setiausaha Publisiti, Young Syefura Othman; Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid.

Ia susulan tulisan Abdul Hadi bertajuk Negara Islam dan hubungannya dengan bukan Islam yang didakwa pemimpin DAP itu sebagai menggunakan Islam untuk kepentingan politik dan bukan berbentuk penulisan ilmiah. – UTUSAN

The post Kerjasama di Melaka lebih mudah berbanding Johor – Abdul Hadi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved