
MOMEN setahun perkahwinan biasanya diraikan dengan penuh makna, namun buat Sufian Suhaimi dan isteri tercinta, Rania Al Sadat, sambutan kali ini hadir dengan satu hadiah yang jauh lebih besar nilainya, kehadiran cahaya mata pertama.
Dalam fasa hidup yang semakin matang, pasangan ini kini melangkah ke satu lagi bab baharu sebagai ibu dan ayah.
Bukan sekadar ulang tahun perkahwinan, tetapi juga simbol cinta yang berkembang menjadi sebuah keluarga kecil yang lengkap.
Kegembiraan berganda itu jelas terpancar apabila kelahiran si kecil hadir tepat selepas genap setahun mereka melayari bahtera rumah tangga.
Momen itu bukan sahaja menyentuh hati, malah turut dikongsi bersama peminat yang setia mengikuti perjalanan hidup pelantun lagu Menggenggam Bahagia.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Sufian tidak menyembunyikan rasa syukur dan terharu atas anugerah yang tidak ternilai itu.
"Alhamdulillah. Genap setahun kita melayari bahtera perkahwinan. Tak ada lain selain rasa syukur dan terima kasih kepada ALLAH yang mengurniakan bidadari untuk melengkapkan separuh agama ini.
"Terima kasih atas segala kasih sayang, kesabaran, dan pengorbanan. Terima kasih sentiasa ada di sisi, dalam susah dan senang, dalam suka dan duka. Terima kasih kerana melahirkan cahaya mata pertama kita.
"You’ve been my calm in chaos, my strength when I feel weak, and my home."
Luahan itu disertakan dengan beberapa keping gambar memperlihatkan momen manis mereka sekeluarga.
Walaupun berkongsi kegembiraan, pasangan ini memilih untuk tidak mendedahkan wajah dan nama anak sulung mereka kepada umum, satu pendekatan yang dilihat cukup menjaga privasi.
Dalam perkongsian sama, Sufian turut menitipkan doa agar hubungan yang dibina terus dilindungi dan diberkati.

"Semoga ALLAH terus pelihara cinta ini, kuatkan ikatan kita keranaNya, dan kurniakan kebahagiaan hingga ke Jannah.
"Happy 1st anniversary, sayang," titipnya penuh makna.
Perkongsian tersebut pantas menarik perhatian warganet yang tidak ketinggalan membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah serta doa buat pasangan ini.
Antara yang mencuri perhatian:
"U happy ; all of us also happy brother @sufiansuhaimi_ & wife happy anniversary& tahniah ats klahiran baby yang comel,"
"Happy anniversary korang, dan happy birthday @sufiansuhaimi_..hadiah tahun ni yg paling bermaknasemoga Allah memudahkan urusan kamu sekeluarga."
"Happy anniversary, happy birthday and segala happy lah! May more happiness coming your wayyyy Pian!."
"1+ 1 + 1 =3… syukur alhamdulillah… tahniah."
"Selamat ulangtahun perkahwinan. Semoga terus kekal bahagia hingga ke syurga. Aamiin."
Sementara itu, Rania turut berkongsi rasa hatinya sebagai ibu baharu menerusi satu hantaran ringkas di Threads.

"And suddenly I’m a momma,” tulisnya.
Walaupun hanya dengan ayat pendek, ia cukup menggambarkan perasaan teruja dan bahagia yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.
Perkongsian tersebut turut mengundang perhatian ramai, khususnya apabila ada yang memuji cara pasangan ini mengendalikan kehidupan peribadi mereka dengan cukup tenang dan tertutup.
Seorang pengguna, @adira_eshal89, meluahkan rasa kagum terhadap pendekatan tersebut:
“Tak perlu majlis gender reveal baby, gambar baby bump pun tak pernah upload, know-know selamat bersalin.
“Tahniah Sufian pandai jaga dan pilih isteri, semoga rumah tangga kekal hingga Jannah. Welcome to world baby girl,” tulisnya.
Pendek kata, dalam dunia hiburan yang sering berkongsi setiap detik kehidupan, pilihan Sufian dan Rania untuk lebih berahsia dilihat memberi satu nafas berbeza, sederhana tetapi penuh makna.
Untuk rekod, pasangan ini sah bergelar suami isteri pada 2 Mei 2025. Sebelum mendirikan rumah tangga, Sufian juga pernah berkongsi tentang kehadiran anak angkat lelakinya, Faeq Razeeq, yang turut melengkapkan perjalanan hidupnya sebagai seorang lelaki dan kini sebagai seorang ayah.
Kini, dengan kehadiran cahaya mata pertama, kehidupan Sufian jelas memasuki fasa yang lebih indah, daripada seorang penyanyi yang menyentuh hati ramai, kepada seorang suami dan ayah yang membina bahagia dalam caranya sendiri.





