Tiong Nam peroleh kontrak logistik jangka panjang baharu, penggunaan gudang meningkat

LocalBusiness & Finance
23 Nov 2026 • 5:32 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tiong Nam peroleh kontrak logistik jangka panjang baharu, penggunaan gudang meningkat Image from: Tiong Nam peroleh kontrak logistik jangka panjang baharu, penggunaan gudang meningkat sarah23/11/2026 - 17:32 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Nov - Tiong Nam Logistics Holdings Berhad memperoleh kontrak logistik jangka panjang baharu daripada pelanggan domestik dan antarabangsa, sekali gus meningkatkan penggunaan kemudahan gudangnya serta menyokong pertumbuhan perniagaan kumpulan.

 

Pengarah Urusannya, Ong Yoong Nyock berkata, permintaan berterusan daripada pelanggan sektor pengguna dan perindustrian membantu meningkatkan penggunaan gudang di seluruh rangkaian logistik bersepadu syarikat itu.

 

"Kumpulan terus mendapatkan kontrak jangka panjang baharu di Malaysia dan rantau ini, selain memperkukuh keupayaan menyediakan perkhidmatan pengangkutan dan pergudangan kepada pelanggan," katanya dalam kenyataan.

 

Menurutnya, peningkatan jumlah penghantaran daripada pelanggan tempatan dan syarikat multinasional, penggunaan gudang yang lebih tinggi serta pengurangan kos sewaan jangka pendek turut menyumbang kepada prestasi operasi yang lebih baik.

 

Keuntungan segmen logistik meningkat kepada RM19.6 juta

Bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 30 September 2026 (2Q FY2027), keuntungan sebelum cukai segmen perkhidmatan logistik dan pergudangan meningkat kepada RM19.6 juta berbanding RM8.1 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Pendapatan segmen berkenaan turut meningkat 11.9% kepada RM265.2 juta daripada RM237 juta sebelumnya, didorong pertambahan permintaan terhadap perkhidmatan logistik bersepadu.

 

Berbanding suku sebelumnya, keuntungan sebelum cukai segmen itu meningkat 26.5% daripada RM15.5 juta, manakala pendapatan bertambah 2.4% daripada RM258.9 juta.

 

Gudang baharu di empat negeri

Bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat, Tiong Nam merancang memulakan operasi kemudahan gudang baharu secara berperingkat di Johor, Selangor, Kelantan dan Sabah mulai tahun kewangan 2027.

 

Langkah itu dijangka meningkatkan keluasan keseluruhan kemudahan pergudangan kumpulan daripada 10.3 juta kepada 11.6 juta kaki persegi menjelang tahun kewangan 2029.

 

Yoong Nyock berkata, penambahan kapasiti tersebut akan membantu kumpulan memenuhi keperluan rantaian bekalan pelanggan yang semakin berkembang, selain memperkukuh kedudukannya sebagai penyedia perkhidmatan logistik menyeluruh.

 

Tiong Nam kembali untung RM10.3 juta

Sementara itu, Tiong Nam mencatatkan keuntungan bersih RM10.3 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2027 berbanding kerugian RM500,000 setahun sebelumnya, manakala pendapatan meningkat 10.4% kepada RM275.6 juta daripada RM249.7 juta.

 

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2027, keuntungan bersih meningkat kepada RM23.7 juta daripada RM3.5 juta, dengan pendapatan bertambah 12% kepada RM544.3 juta. Kumpulan kini mengendalikan 108 gudang di Malaysia, Singapura dan Laos, disokong lebih 2,400 kenderaan.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved