
PETALING JAYA: Hajat beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani untuk melakar sejarah dalam karier mereka mara ke separuh akhir buat kali pertama pada Kejohanan Badminton Dunia tidak kesampaian di New Delhi, India, hari ini.
Pasangan No. 6 dunia itu terpaksa akur kepada jaguh No. 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan 16-21, 16-21 dalam masa 41 minit pada suku akhir di Stadium Tertutup Indira Gandhi.
Kekalahan itu menyaksikan Won Ho-Seung Jae yang merupakan juara bertahan semakin melebarkan rekod pertemuan dengan Sze Fei-Izzuddin kepada 4-2.
Kegagalan tersebut juga memusnahkan impian peminat di tanah air untuk menyaksikan pertembungan sesama sendiri dua wakil Malaysia selepas gandingan No. 4 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terlebih dahulu menempah slot separuh akhir.
Sze Fei berkata, kekerapan melakukan kesilapan sendiri dalam set kedua menjadi punca kekalahan mereka di tangan Won Ho-Seung Jae.
“Saya rasa secara keseluruhannya kami tidaklah bermain terlalu teruk.
“Tetapi pada set kedua, saya rasa kami mungkin melakukan terlalu banyak kesilapan sendiri. Saya rasa itulah puncanya,” katanya kepada wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan berakhir.
Izzuddin pula memberitahu, beregu handalan Korea Selatan itu sentiasa mempamerkan prestasi yang lebih konsisten.
“Saya rasa mereka agak konsisten dalam setiap pukulan dan setiap mata. Ya, saya rasa itulah yang membuatkan mereka bermain lebih baik hari ini,” katanya.
Kemaraan Sze Fei-Izzuddin ke suku akhir pada Kejohanan Dunia merupakan pencapaian terbaik beregu tersebut dan fokus mereka selepas ini sudah boleh dialih kepada Sukan Asia Aichi-Nagoya, Jepun yang akan berlangsung bulan depan. – UTUSAN
The post Hajat Sze Fei-Izzuddin tidak kesampaian appeared first on Utusan Malaysia.






