
PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 2 negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani berada di landasan terbaik bagi memburu gelaran dunia selepas mengesahkan tempat ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Dunia di New Delhi, India, hari ini.
Gandingan profesional yang menghuni ranking No. 6 dunia itu menyingkirkan wakil Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin 21-17, 21-17 dalam masa 42 minit pada peringkat 16 terbaik di Stadium Tertutup Indira Gandhi.
Kemenangan itu juga menebus kekalahan mereka di tangan beregu No. 14 dunia tersebut pada suku akhir Terbuka Jerman, Februari lalu dan sekali gus, memastikan rekod pertemuan kembali di pintas Sze Fei-Izzuddin menjadi 2-1.
Kejayaan mara ke suku akhir merupakan kali pertama dilakukan Sze Fei-Izzuddin dan mereka tidak bersendirian kerana Malaysia sekurang-kurangnya akan mempunyai dua wakil beregu lelaki, esok.
Satu lagi perlawanan di peringkat 16 terbaik akan menyaksikan pertembungan sesama sendiri antara beregu No. 4 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang berada di ranking No. 11 dunia.
Sementara itu, dalam saingan beregu campuran, wakil tunggal Malaysia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai terpaksa akur kepada pasangan No. 9 dunia, Cheng Xing-Zhang Chi 15-21, 12-21 dalam masa 34 minit.
Kekalahan tersebut telah membuka laluan kepada beregu China tersebut untuk mengikat Soon Huat-Shevon yang merupakan gandingan No. 11 dunia dengan rekod pertemuan 3-3. – UTUSAN
The post Sze Fei-Izzuddin pastikan slot suku akhir Kejohanan Dunia milik mereka appeared first on Utusan Malaysia.






