
Gandingan beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Dunia 2026, manakala Pearly Tan-M. Thinaah tersingkir di pusingan 16
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki kebangsaan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani mara ke pusingan suku akhir, manakala beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah tersingkir pada pusingan 16, di Kejohanan Badminton Dunia 2026 di New Delhi, India, hari ini.
Sze Fei-Nur Izzuddin yang merupakan pilihan keenam kejohanan, mengesahkan tempat mereka ke kelompok lapan terakhir, selepas menewaskan pasangan Taiwan Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin 21-17, 21-17 dalam perlawanan 42 minit, di Stadium Tertutup Indira Gandhi.
Kemenangan itu menyaksikan gandingan Malaysia tersebut melebarkan rekod pertemuan menentang pasangan Taiwan itu kepada 2-1.
“Saya rasa kami gembira dengan prestasi hari ini, tetapi masih perlu memperbaiki kelemahan untuk beraksi lebih baik pada perlawanan seterusnya,” kata Sze Fei dalam satu rakaman suara yang dikongsi Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kepadamedia.
Sze Fei berkata mereka hanya perlu bermain sebagai pasukan bukan pilihan dan memberikan yang terbaik tanpa sebarang tekanan untuk menikmati perlawanan tersebut.
Mereka dijadualkan menentang pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan Kim Won Ho-Seo Seung Jae. Kedua-dua pasangan itu mempunyai rekod pertemuan 2-3, selepas Sze Fei-Nur Izzuddin tewas dalam pertemuan terakhir mereka pada Terbuka Jepun 2026, bulan lepas.
Bagaimanapun, nasib berbeza buat pilihan kelima Pearly-Thinaah yang mengalami kekalahan 22-20, 18-21, 12-21 di tangan pasangan Indonesia Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari.
Pasangan Indonesia yang merupakan pilihan ke-13 itu, mendominasi set penentuan dengan meraih mata berturut-turut untuk menamatkan perlawanan dengan 21-12.
Keputusan ini mencatatkan kekalahan kedua Pearly-Thinaah kepada pasangan nombor 13 dunia itu, dalam tujuh pertemuan.
Terdahulu, beregu campuran profesional Malaysia Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai turut tersingkir selepas tewas 15-21, 12-21 kepada pasangan China Cheng Xing-Zhang Chi. Kekalahan tersebut menyaksikan rekod pertemuan antara kedua-dua pasangan kini terikat 3-3.





