
KUALA LUMPUR – Hasrat beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah untuk meneruskan kemaraan ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Dunia di New Delhi, India tidak kesampaian apabila tersingkir di pusingan ketiga.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Indira Gandhi hari ini, naib juara tahun lalu itu tewas mengejut 22-20, 18-21, 12-21 kepada beregu Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari.
Beraksi sebagai pilihan kelima kejohanan, Pearly-Thinaah bermula garang apabila menang di set pertama, namun rentak kemenangan itu gagal diteruskan dalam dua set berikutnya, sekali gus tersingkir daripada saingan.
Thinaah berkata, kegagalan untuk kekal dengan perancangan asal selain kemampuan pemain lawan mematahkan setiap strategi yang dibuat menjadi salah satu faktor kekalahan mereka pada hari ini.
“Sebenarnya kami terikut-ikut dengan rentak permainan lawan apabila perlawanan semakin hampir ke penghujung. Kami tidak dapat mengikut perancangan yang dibuat selain lawan juga mampu membaca taktik kami.
“Saya fikir aspek berkenaan akan menjadi salah satu perkara yang perlu diberikan perhatian dan diubah dengan kadar segera,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, Pearly yang baru sahaja pulih daripada kecederaan mengakui progres sudah berjalan dengan baik, tetapi masih banyak kelemahan perlu diperbaiki menjelang kejohanan akan datang.
“Setakat ini progres berjalan dengan baik, tetapi dari segi kemampuan, terutamanya saya, masih banyak yang perlu diperbaiki. Kami tidak akan mengaku kalah dan sedia bekerja lebih keras,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Kejohanan Dunia: Pearly-Thinaah kandas di pusingan ketiga appeared first on Kosmo Digital.





