Hajat ziarah kematian saudara berakhir tragedi, ibu dan bayi maut

12 Oct 2026 • 11:32 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Hajat ziarah kematian saudara berakhir tragedi, ibu dan bayi maut

GUA MUSANG – Perjalanan dua beradik untuk pulang ke Pasir Puteh dekat sini bagi menziarahi kematian ibu saudara berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka bersama bayi perempuan berusia dua bulan maut dalam kemalangan di Kilometer 52, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, Maslina Md. Shafie, 33, dan bayi sulungnya, Medina El Zahra Muhammad Zulfadhli, dua bulan maut di lokasi kejadian, manakala abangnya, Muhammad Azizi Md Shafie, 36, cedera dan kini dirawat di Hospital Gua Musang.

Abang iparnya, Nasrul Pauzy, 44, berkata, mereka bergerak secara berkonvoi dari Cheras, Kuala Lumpur kira-kira pukul 11.30 pagi semalam untuk pulang ke Bukit Abal, Pasir Puteh bagi menziarahi kematian ibu saudara mereka.

Katanya, Maslina dan Azizi menaiki sebuah Perodua Myvi, manakala dia bersama ahli keluarga lain menaiki kenderaan berasingan.

“Suami Maslina tidak mengikuti mereka pulang ke Pasir Puteh kerana ada urusan kerja. Apabila tiba di Kampung Laloh, Kuala Krai, Azizi menghubungi saya dan memaklumkan dia terbabit dalam kemalangan. Saya terus berpatah balik ke Gua Musang untuk melihat keadaan mereka dan sehingga kini masih menunggu urusan bedah siasat Maslina serta bayinya.

“Keadaan Azizi kini stabil, namun masih menunggu laporan doktor bagi mengenal pasti sama ada dia mengalami kecederaan dalaman. Saya difahamkan bedah siasat akan dilakukan pada pukul 11 pagi ini sebelum jenazah dibawa pulang untuk dikebumikan di Kampung Permatang Gading, Pasir Puteh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kosmo! Online semalam melaporkan, kemalangan itu membabitkan tiga buah Perodua Myvi merah, jingga dan putih serta sebuah motosikal.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati sebuah Perodua Myvi berwarna merah yang bergerak dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang dipercayai terbabas ke laluan bertentangan sebaik tiba di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE

The post Hajat ziarah kematian saudara berakhir tragedi, ibu dan bayi maut appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved