
GUA MUSANG: Perjalanan dua beradik pulang ke Pasir Puteh, dekat sini untuk menziarahi kematian ibu saudara berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka bersama bayi perempuannya berusia dua bulan maut dalam kemalangan di Kilometer 52, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, Maslina Md. Shafie, 33, dan bayinya, Medina El Zahra Muhammad Zulfadhli maut di lokasi kejadian manakala abangnya, Muhammad Azizi, 36, cedera dan kini dirawat di Hospital Gua Musang.
Abang iparnya, Nasrul Pauzy, 44, berkata, mereka bergerak secara berkonvoi dari Cheras, Kuala Lumpur kira-kira pukul 11.30 pagi semalam untuk pulang ke Bukit Abal, Pasir Puteh bagi menziarahi kematian ibu saudara mereka.
Katanya, Maslina dan Azizi menaiki sebuah Perodua Myvi manakala dia bersama ahli keluarga lain menaiki kenderaan berasingan.
“Suami Maslina tidak mengikuti mereka pulang ke Pasir Puteh kerana ada urusan kerja. Apabila tiba di Kampung Laloh, Kuala Krai, Azizi menghubungi saya dan memaklumkan dia terbabit dalam kemalangan.
“Saya terus berpatah balik ke Gua Musang untuk melihat keadaan mereka dan sehingga kini masih menunggu urusan bedah siasat Maslina serta bayinya,” katanya hari ini.
Nasrul berkata, suami Maslina sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan terus bergegas ke Hospital Gua Musang.
Katanya, Medina El Zahra merupakan anak sulung Maslina dan suaminya.
“Keadaan Azizi kini stabil namun masih menunggu laporan doktor bagi mengenal pasti sama ada dia mengalami kecederaan dalaman.
“Saya difahamkan bedah siasat dilakukan pada pukul 11 pagi ini sebelum jenazah dibawa pulang untuk dikebumikan di Kampung Permatang Gading, Pasir Puteh,” katanya. – UTUSAN
The post Perjalanan ziarah kematian ibu saudara berakhir tragedi appeared first on Utusan Malaysia.






