KOTA KINABALU - Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mahu jajaran politik sedia ada yang melibatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dikekalkan bagi memastikan kestabilan kerajaan negeri.
Beliau berkata, sebarang pandangan daripada BN dan PH berhubung kerjasama berkenaan akan dibawa ke perbincangan bagi mencapai persetujuan bersama, namun menegaskan kerajaan negeri ketika ini diterajui GRS.
"Kita belum lagi berbincang tetapi kita maklum bahawa kerajaan negeri pada hari ini adalah kerajaan yang terdiri daripada BN dan juga PH dan rakan-rakan yang lain. Ini kita teruskan.
"Kita mahu kestabilan. Kalau kita ada kestabilan, kita boleh merancang pembangunan dengan lebih teratur dan lebih baik untuk rakyat kita pada masa akan datang.
"Jadi, jajaran politik dalam kerajaan sekarang ini, itulah kita teruskan. Ada pandangan dan kenyataan daripada pihak BN serta PH, nanti kita akan bawa berbincang untuk mencari persetujuan bersama. Tapi bagi saya, kerajaan yang kita pimpin ini ialah kerajaan yang diketuai oleh GRS," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi dan Makan Malam Bersama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada malam Ahad.
Sementara itu, dalam ucapannya, Hajiji turut menegaskan bahawa kerjasama GRS dengan BN dan PH akan diteruskan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Parlimen serta Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
"Kerjasama kita dengan PH dan BN ini kita akan teruskan dalam PRU Parlimen ini dan juga dalam PRN yang akan datang. Ini jajaran politik yang kita mahu lakukan.
"Harapan kita ialah satu kerajaan yang stabil, satu kerajaan yang telah kita bina pada hari ini, iaitu GRS, PH dan juga BN yang ada sekarang ini," katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kekuatan sesebuah kerajaan bukan hanya bergantung kepada dasar yang dirangka, sebaliknya turut ditentukan oleh keberkesanan pelaksanaannya oleh barisan kepimpinan dan penjawat awam.
"Kerajaan yang kuat bukan hanya terletak kepada dasar-dasarnya, tetapi terletak kepada pelaksanaan yang akan dilakukan oleh tuan-tuan, puan-puan dan juga jabatan-jabatan kerajaan di Sabah.
"Kalau dasar yang telah kita buat ini tidak dapat dilaksanakan sebaik mungkin, ia juga boleh mendatangkan kegagalan kepada kita.
"Kalau mereka cekap dan mempunyai semangat untuk melaksanakan serta menjayakan apa juga dasar kerajaan, Insya-ALLAH Sabah akan menjadi negeri maju yang boleh kita banggakan pada masa akan datang," katanya.






