Hak waris dipercepat, 30,282 kes pusaka selesai

26 Jul 2026 • 3:56 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Hak waris dipercepat, 30,282 kes pusaka selesai

PETALING JAYA – Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) berjaya menyelesaikan sebanyak 30,282 kes permohonan pusaka semasa sehingga pertengahan tahun ini, sekali gus membuktikan komitmen jabatan dalam mempercepat urusan rakyat berkaitan hak pemilikan harta.

Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Datuk Mohd. Fauzi Mohd. Yatim berkata, sebanyak 18,632 kes tunggakan turut berjaya diselesaikan, bersamaan 57 peratus daripada sasaran keseluruhan 32,695 kes bagi tahun 2026.

Menurutnya, pencapaian tersebut mencerminkan kesungguhan JKPTG memastikan setiap hak rakyat dapat disempurnakan tanpa kelewatan yang tidak munasabah.

“Pada masa sama, JKPTG terus memperluaskan Program Kesedaran Awam (Turun Padang) menerusi rangkaian Pejabat Pembahagian Pusaka di seluruh negara.

“Sehingga Mei lalu, sebanyak 27 program berjaya dilaksanakan melibatkan sesi taklimat, hari bersama waris, hari bertemu pelanggan dan wacana ilmu dengan sasaran keseluruhan 36 program menjelang Disember ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pendekatan turun padang itu membolehkan masyarakat memperoleh maklumat secara langsung mengenai tatacara pengurusan pusaka, sekali gus membantu mengurangkan isu harta beku yang memberi implikasi kepada waris serta pembangunan ekonomi negara.

Sementara itu, Mohd. Fauzi berkata, sambutan Hari Tanah Negara yang memasuki sedekad penganjuran tahun ini membawa tema Tanah Kita, Tanggungjawab Kita sebagai simbol komitmen kerajaan memperkukuh sistem pentadbiran tanah yang lebih cekap, telus dan berintegriti.

Katanya, pelbagai program termasuk pameran perkhidmatan, kaunter bergerak, sesi konsultasi, ceramah dan forum akan diadakan bagi mendekatkan masyarakat dengan institusi pentadbiran tanah serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengurusan tanah yang mampan. – KOSMO! ONLINE

The post Hak waris dipercepat, 30,282 kes pusaka selesai appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved