Hakim Danish mahu kembali buru kelompok depan di Misano

10 Sep 2026 • 10:49 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Hakim Danish mahu kembali buru kelompok depan di Misano
HAKIM DANISH. Foto: ZK Racing

PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli, bertekad kembali mencabar kelompok hadapan apabila turun beraksi pada Grand Prix (GP) San Marino di Litar Misano, Itali hujung minggu ini.

Tekad itu hadir selepas pelumba berusia 19 tahun berkenaan menamatkan GP Aragon di tempat ke-12 untuk mengutip empat mata, sekali gus menyasarkan keputusan lebih baik di Misano.

Pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu menjangkakan saingan lebih sengit di Rimini, terutama berdepan pelumba Eropah yang lebih berpengalaman dan biasa dengan karakter litar berkenaan.

Justeru, Hakim Danish perlu mendapatkan rentak seawal Sesi Latihan Bebas 1 (FP1) bagi memburu kedudukan grid lebih baik, selain meningkatkan keserasian dengan jentera.

Hakim Danish berkata, dia sudah mengenal pasti beberapa perkara yang perlu diperbaiki bersama kru selepas perlumbaan di Aragon, selain semakin yakin dengan kerjasama pasukan dalam mendapatkan tetapan jentera sesuai dengan karakter Misano.

"Saya tidak sabar untuk kembali berlumba dan memberikan yang terbaik di San Marino. Saya sudah mengkaji semula perlumbaan di Aragon dan mengenal pasti beberapa perkara yang perlu diperbaiki.

"Saya perlu lebih pantas menyesuaikan diri dengan litar dan keadaan perlumbaan, terutama pada sesi awal. Pada masa sama, saya mahu mendapatkan keyakinan serta keserasian lebih baik dengan motosikal,”katanya.

Malah, jelasnya, kerjasama dengan pasukan semakin baik, selain mereka semakin memahami perkara yang diperlukan untuk mendapatkan prestasi terbaik daripada motosikal.

"Perkara utama adalah untuk terus mengutip mata sebanyak mungkin dalam setiap perlumbaan. Saya mahu lebih konsisten, mengurangkan kesilapan dan cuba berada dalam kelompok hadapan supaya dapat membawa pulang mata penting dari San Marino," katanya.

Setakat ini, Hakim Danish mengumpul 90 mata untuk berada di tangga kelapan keseluruhan Kejuaraan Dunia Moto3 2026.

Dengan sembilan pusingan berbaki sebelum musim melabuhkan tirai di GP Valencia pada 29 November, setiap mata penting buat pelumba Terengganu itu untuk memperbaiki kedudukan dan menamatkan musim dengan momentum positif.

Sementara itu, Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairudin berkata, Hakim Danish perlu mendapatkan rentak seawal FP1 kerana Misano mempunyai gabungan selekoh pantas dan perlahan.

Menurutnya, pelumba Eropah termasuk bekas pelumba Red Bull Rookies Cup lebih mengetahui selok-belok litar berkenaan, sekali gus menuntut Hakim Danish segera menyesuaikan diri kerana ia penampilan pertamanya di Misano.

"Misano adalah peluang untuk Danish bangkit dan menunjukkan keputusan lebih baik. Dia perlu berada dalam kelompok hadapan kerana pada perlumbaan terakhir di Aragon, dia tidak dapat berada dalam kelompok tersebut.

"Ada dua atau tiga pelumba yang mempunyai rentak sangat kuat. Jadi, saya percaya Misano adalah peluang untuk Danish bangkit, menunjukkan keputusan yang baik dan kembali bertarung dalam kelompok hadapan," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved