Hampir sembilan tahun di sebalik jeriji, akhirnya Jambi bebas

28 Aug 2026 • 9:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Hampir sembilan tahun di sebalik jeriji, akhirnya Jambi bebas
Jambi (kanan) dan Kamal di luar Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Jumaat dan beliau kelihatan ceria ketika berada di kampung halamannya sejurus dibebas dari penjara.

JOHOR BAHRU - Sembilan tahun hidup terkurung di sebalik tembok penjara, seorang lelaki Orang Asli akhirnya dapat menghirup kebebasan selepas dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.

Jambi Anak Chang Taa Nam yang dibebaskan pada usia 47 tahun, gagal menyembunyikan perasaan saat Hakim, Atan Mustaffa Yussof Ahmad membacakan keputusan terbabit.

Peguamnya, Kamal Hisham Jaafar menyifatkan pembebasan itu sebagai detik penuh emosi selepas anak guamnya telah melalui tempoh tahanan reman yang amat panjang ketika prosiding kes pembunuhan terhadapnya berlarutan.

Menurutnya, sepanjang berada dalam tahanan, rumah tangga Jambi kembali diuji sehingga menyebabkan hubungan bersama keluarga semakin terbatas.

“Jambi pada asalnya didakwa atas pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Walaupun sembilan tahun telah berlalu namun perbicaraan itu masih di peringkat pendakwaan,” katanya ketika dihubungi.

Susulan itu, Kamal mengambil tindakan dengan meneliti semula bahan bukti sebelum mengemukakan representasi kepada pihak pendakwaan.

“Perbicaraan telah berlangsung terlalu lama, ketika saya masuk, pihak pendakwaan masih membentangkan kesnya.

“Jadi saya tunjukkan kepada pihak pendakwaan bahawa kes terhadapnya sangat lemah,” katanya sambil menjelaskan bahawa beliau mengendalikan kes itu secara pro bono.

Menurutnya, pertuduhan terhadap Jambi kemudian dipinda kepada Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, yang berkaitan dengan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.

Mengulas mengenai penglibatannya dengan Jambi, Kamal berkata, kes berkenaan mula mendapat perhatiannya selepas menerima surat yang dihantar dari penjara pada lima bulan lalu.

Dalam surat itu, beliau berkata, Jambi mengingatkan peguam terbabit bahawa mereka pernah bertemu 17 tahun lalu.

Ketika katanya, Jambi menemani bapa yang juga seorang batin dari sebuah perkampungan Orang Asli di Johor, di program Kembara Mahkota Johor yang mana beliau bertindak sebagai setiausaha program berkenaan.

“Selepas menerima surat itu, saya pergi berjumpa dengan Jambi dan memutuskan untuk mengambil kesnya.

"Ternyata nasib menyebelahinya dan dia peluk saya dan menangis kerana memperoleh kebebasan selepas bertahun-tahun berada di tirai besi,” katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved