Hampir separuh daripada 328,302 individu jalani saringan PeKa B40 ada masalah kesihatan – ProtectHealth

LocalHealth & Fitness
30 Sep 2026 • 2:31 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hampir separuh daripada 328,302 individu jalani saringan PeKa B40 ada masalah kesihatan – ProtectHealth Image from: Hampir separuh daripada 328,302 individu jalani saringan PeKa B40 ada masalah kesihatan – ProtectHealth liza30/09/2026 - 14:31 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Sept – Saringan kesihatan PeKa B40 mendedahkan hampir separuh peserta sebenarnya berdepan masalah kesihatan yang tidak mereka sedari  dengan 44.5% daripada 328,302 individu yang menjalani saringan pada 2025 dikesan mempunyai sekurang-kurangnya satu masalah kesihatan.

 

Peserta didiagnosis menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit tidak berjangkit (NCD), dikenal pasti berisiko mengalami keresahan atau kemurungan, malah ada yang mempunyai kedua-dua simptom berkenaan.

 

Penemuan tersebut menggariskan kepentingan saringan kesihatan secara berkala, khususnya kerana penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi boleh dihidapi tanpa menunjukkan gejala yang jelas pada peringkat awal.

 

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang dijalankan secara berkala turut menunjukkan sebahagian besar rakyat Malaysia yang menghidap diabetes, tekanan darah tinggi atau kolesterol tinggi tidak menyedari mereka mempunyai penyakit berkenaan.

 

Lebih 2 juta rakyat Malaysia sudah jalani saringan

PeKa B40 diperkenalkan Kementerian Kesihatan Malaysia pada April 2019 bagi menangani peningkatan beban penyakit tidak berjangkit dalam negara dengan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd dilantik sebagai pentadbir skim penjagaan kesihatan itu.

 

Program berkenaan bertujuan memperluas akses kepada saringan kesihatan dan sokongan penjagaan kesihatan, khususnya kepada rakyat Malaysia yang mungkin tidak mampu mendapatkan saringan secara swasta.

 

Sehingga 31 Ogos 2026, lebih 2 juta rakyat Malaysia telah menjalani saringan kesihatan menerusi PeKa B40 sejak program itu diperkenalkan.

 

Namun, kadar penyertaan masih menunjukkan jurang antara negeri dengan Kelantan merekodkan 45.6%, diikuti Kedah 39.2%, manakala Selangor dan Kuala Lumpur masing-masing mencatat 23.1% dan 15%.

 

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Wan Mohd Hazwan Wan Mohd Najib berkata penyakit tidak berjangkit kekal sebagai antara punca utama kematian di Malaysia, sedangkan ramai individu yang mempunyai diabetes, tekanan darah tinggi atau kolesterol tinggi tidak mengalami gejala yang ketara pada peringkat awal.

 

Beliau berkata PeKa B40 memberi peluang kepada rakyat Malaysia yang layak untuk mengenal pasti masalah kesihatan lebih awal, mendapatkan rawatan susulan yang sesuai dan mengurus keadaan mereka sebelum komplikasi serius berlaku.

 

“Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta pasangan mereka yang berumur 40 tahun ke atas layak menerima PeKa B40 secara automatik tanpa perlu membuat pendaftaran berasingan.

 

“Mereka hanya perlu membawa MyKad ke mana-mana daripada 5,600 klinik pengamal perubatan am swasta dan Klinik Kesihatan yang mengambil bahagian di seluruh negara untuk menjalani saringan secara percuma, tanpa perlu berpuasa terlebih dahulu,” katanya.

 

Insentif kesihatan

Saringan kesihatan merupakan manfaat pertama daripada empat manfaat PeKa B40 dan perlu dilengkapkan sebelum peserta boleh mengakses manfaat lain, termasuk bantuan peranti perubatan sehingga RM20,000, insentif melengkapkan rawatan RM1,000 bagi pesakit kanser yang layak menerima rawatan di hospital Kementerian Kesihatan serta insentif pengangkutan sehingga RM1,000, tertakluk kepada syarat dan kelayakan ditetapkan.

 

Kesemua manfaat itu adalah untuk menyokong pengesanan awal dan kesinambungan penjagaan kesihatan, selain membantu meringankan sebahagian beban kewangan peserta, termasuk dalam mengurus kesihatan, mengekalkan mobiliti dan kebebasan serta meningkatkan kualiti hidup. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved