Hantaran fitnah Nie Ching dan DAP, ADUN Senai lapor polis

LocalPolitics
28 Aug 2026 • 5:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Hantaran fitnah Nie Ching dan DAP, ADUN Senai lapor polis
Bor Yang (kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Kulai.

KULAI - Satu laporan polis dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai, Wong Bor Yang terhadap hantaran berunsur fitnah dan tuduhan palsu mengaitkan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching serta DAP dengan kumpulan kongsi gelap.

Menurut Bor Yang, hantaran berkenaan merupakan tomahan dan tuduhan palsu terhadap Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai.

Jelas beliau, hantaran berkenaan. mendakwa Nie Ching mempunyai kaitan dengan sebuah kumpulan kongsi gelap yang kemudiannya kumpulan itu dikaitkan dengan kematian seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di Kulai baru-baru ini.

"Saya merujuk kepada satu hantaran fitnah di Facebook yang melemparkan tohmahan liar serta mereka-reka cerita tidak benar dengan mengaitkan Nie Ching dan DAP dengan aktiviti kumpulan kongsi gelap.

"Sehubungan itu, saya bersama Pegawai Khas Nie Ching telah membuat satu laporan polis rasmi di IPD Kulai semalam bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya menurut undang-undang," katanya ketika dihubungi.

Sebelum itu, Bor Yang bersama Pegawai Khas kepada Nie Ching membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai di sini, kira-kira jam 8.10 pagi pada Khamis.

Menurut Bor Yang, hantaran itu dibuat seorang pengguna media sosial yang memuat naik kandungan palsu serta memanipulasi fakta selain gambar remaja perempuan yang juga mangsa turut disalahgunakan.

"Hantaran pertama mengaitkan Nie Ching dan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dengan Kumpulan Alibaba 265.

"Angka 265 ini merujuk kepada kod sebuah kumpulan kongsi gelap. Selain itu, muka, nama dan kad pengenalan mangsa juga dipaparkan dalam hantaran berkenaan.

"Hantaran kedua pula mendakwa kematian remaja perempuan itu ada kaitan dengan aktiviti kongsi gelap kumpulan 265 itu," jelasnya.

Menurut Bor Yang, kelmarin, pihaknya menziarahi upacara pengebumian mangsa dan memberikan sokongan kepada ahli keluarga yang sedang melalui saat yang amat sukar ini.

"Kehilangan nyawa seorang remaja adalah satu tragedi. Ia tidak sepatutnya dijadikan bahan untuk menyebarkan fitnah dan mencipta naratif palsu," katanya.

Bor Yang turut menyeru pihak polis menjalankan siasatan secara menyeluruh supaya fakta dan gambaran sebenar kes berkenaan dapat diperjelaskan kepada semua pihak.

Menerusi hantaran dibuat berkenaan, dia turut mendakwa terdapat pihak yang mempunyai pengaruh telah mempengaruhi pihak polis dan media tempatan supaya kejadian menimpa mangsa hanya dilaporkan sebagai kemalangan jalan raya.

Terdahulu, kes kemalangan maut membabitkan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di Lingkaran Bulatan Persiaran Indahpura 4, di sini, pada Selasa lalu kini diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, keputusan itu dibuat susulan keterangan diperoleh polis melalui soal siasat terhadap 13 suspek yang ditahan termasuk seorang pelajar sekolah berusia 15 tahun.

Beliau berkata, mangsa bersama empat penumpang lain menaiki sebuah Myvi dipandu lelaki tempatan berusia 20 tahun dari Jalan Kenanga, Indahpura untuk pulang ke rumah masing-masing selepas makan dan lepak bersama rakan-rakan pada 12.38 tengah malam.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved