Pemimpin DAP nafi terlibat dalam kumpulan kongsi gelap

LocalPolitics
28 Aug 2026 • 6:43 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pemimpin DAP nafi terlibat dalam kumpulan kongsi gelap

KULAI: Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menafikan dakwaan bahawa sebuah akaun media sosial Facebook bahawa dirinya terlibat dengan kumpulan kongsi gelap di negeri ini.

Nie Ching yang juga Naib Pengerusi DAP berkata, pihaknya telah membuat laporan terhadap polis dan juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berhubung hantaran media sosial berkenaan.

“Itu adalah tuduhan yang sangat jahat dan tidak berasas langsung. Terdapat satu akaun media sosial yang membuat tuduhan palsu terhadap saya. Akaun tersebut mendakwa saya terlibat dalam kumpulan kongsi gelap dan satu kes kemalangan jalan raya yang kini sedang disiasat oleh pihak polis.

“Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad telah buat sidang media memaklumkan bahawa seramai 13 suspek telah ditangkap, dan saya mengalu-alukan siasatan menyeluruh daripada pihak polis,” katanya ketika ditemui pada Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat di Hutan Bandar Putra, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Nie Ching tidak menafikan dirinya pernah bergambar dengan seseorang individu yang dikaitkan dengan aktiviti kongsi gelap, dipercayai menerusi majlis-majlis komuniti yang pernah dihadirinya sepanjang bergelar ahli politik.

“Saya sudah berada dalam arena politik selama 18 tahun dan berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama 13 tahun. Mungkin ada ketika saya pernah bertemu seseorang sekali atau dua kali, atau mungkin ada gambar bersama atas kapasiti sosial yang biasa.

“Namun, untuk mendakwa saya terlibat dalam aktiviti tersebut adalah satu tuduhan palsu kerana mereka hanya tunjukkan gambar saya dengan seseorang, yang mana ia hanyalah aktiviti sosial biasa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat awam tidak mudah terpedaya dengan apa-apa dakwaan yang dibuat mana-mana individu tidak dikenali khususnya menerusi aplikasi media sosial.

“Kejadian ini menunjukkan bahawa pada zaman digital ini, semua orang berisiko menjadi mangsa. Oleh itu, jangan mudah percaya kepada maklumat yang kita terima tanpa usul pemeriksaan. Kita perlu berfikir dengan rasional dan menyiasat terlebih dahulu,” katanya.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai, Wong Bor Yang membuat laporan polis terhadap pemilik akaun yang membuat dakwaan Nie Ching terlibat dalam kumpulan kongsi.-UTUSAN

The post Pemimpin DAP nafi terlibat dalam kumpulan kongsi gelap appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved