
KULAI: Polis menahan tiga lagi lelaki berhubung insiden tular melibatkan tindakan menutup jalan awam dan menjalankan perlumbaan haram di Lebuhraya Linkedua, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, tangkapan susulan kesemua suspek tersebut dibuat di Kuala Lumpur bagi membantu siasatan lanjut.
“Kesemua tiga individu yang ditahan di Kuala Lumpur akan dibawa ke Mahkamah Kulai bagi permohonan perintah reman. Siasatan lanjut bagi kes ini masih diteruskan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Ahad lalu, Polis Johor menahan reman lapan lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 45 tahun termasuk seorang pempengaruh permotoran selama empat hari.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7 pagi itu dipercayai membabitkan laluan dari Kilometer 33 (Susur Tol Senai) hingga Kilometer 31 (Susur Johor Premium Outlet).
Satu rakaman video berdurasi 33 saat yang tular di media sosial memaparkan tindakan beberapa individu dengan sengaja menghalang laluan lebuh raya bagi memberi laluan kepada dua penunggang motosikal berlumba haram.
Kumpulan berkenaan turut dilihat membakar mercun bagi meraikan tamatnya perlumbaan, selain berkumpul di bahu jalan sejurus acara berkenaan selesai.-UTUSAN
The post Lumba haram, tutup Lebuhraya Linkedua: Tiga lagi ditahan di KL appeared first on Utusan Malaysia.





