sarah22/10/2026 - 16:06 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Okt - Kerajaan mempertahankan ketepatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS), sambil menegaskan perbezaan bacaan dengan aplikasi pemantauan kualiti udara bebas tidak semestinya menunjukkan data kerajaan tidak tepat.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, bacaan IPU JAS kekal sebagai rujukan rasmi kerajaan dalam menentukan kualiti udara dan menguruskan kejadian jerebu di negara ini.
Beliau berkata, bacaan tersebut dikira berdasarkan kepekatan enam bahan pencemar utama yang dipantau sepanjang masa menerusi 68 stesen pengawasan kualiti udara automatik di seluruh negara.
"Perbezaan boleh berlaku kerana platform ini menggunakan skala, ambang, kategori, tempoh purata, masa kemas kini dan sumber data yang berbeza," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai langkah kerajaan memastikan bacaan IPU rasmi Malaysia kekal tepat, telus dan diyakini masyarakat, selain cadangan menambah baik penyampaian maklumat kualiti udara supaya lebih mudah difahami serta responsif terhadap perubahan keadaan jerebu semasa.
Arthur menjelaskan, sesetengah platform bebas turut bergantung kepada penderia kos rendah, anggaran model atau data satelit yang mengukur kepekatan zarah di atmosfera, bukannya kualiti udara sebenar pada paras permukaan bumi tempat manusia bernafas.
Menurutnya, stesen pemantauan JAS menggunakan peralatan dan kaedah pengukuran yang diiktiraf Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (EPA), selain tertakluk kepada prosedur jaminan kualiti yang ketat.
"Operasi stesen merangkumi penyelenggaraan peralatan, penentukuran, pemeriksaan prestasi instrumen dan prosedur jaminan kualiti bagi memastikan data yang digunakan untuk mengira IPU rasmi adalah tepat serta boleh dipercayai," katanya.
Beliau berkata, bacaan IPU rasmi dikemas kini setiap jam, manakala pengiraan zarah halus PM2.5 dan PM10 menggunakan purata bergerak 24 jam, selaras dengan piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta amalan agensi alam sekitar antarabangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, Arthur berkata, kerajaan terbuka untuk menambah baik Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan bagi memperkukuh penyelarasan antara agensi, khususnya apabila bacaan IPU mencapai tahap tidak sihat atau sangat tidak sihat.
Beliau turut menegaskan pendekatan toleransi sifar terhadap pembakaran terbuka, dengan JAS merekodkan sebanyak 3,433 tindakan penguatkuasaan berkaitan kejadian tersebut antara Ogos hingga Oktober tahun ini.- DagangNews.com






