Avaland lepasi sasaran pelancaran projek 2026 sebanyak 30% kepada RM1.3 bilion

18 Nov 2026 • 5:47 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Avaland lepasi sasaran pelancaran projek 2026 sebanyak 30% kepada RM1.3 bilion Image from: Avaland lepasi sasaran pelancaran projek 2026 sebanyak 30% kepada RM1.3 bilion sarah18/11/2026 - 17:47 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Nov - Avaland Berhad melepasi sasaran pelancaran projek hartanah bagi 2026 sebanyak 30% apabila mencatatkan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM1.3 bilion, berbanding sasaran awal RM1 bilion, disokong pelancaran beberapa projek kediaman di Lembah Klang.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Avaland, Apollo Bello Tanco berkata, pencapaian itu melibatkan pelancaran Aetas Taman Desa dengan GDV RM713 juta, Accent Petaling Jaya bernilai RM400 juta serta Meria Fasa 2 @ Cybersouth bernilai RM244 juta, yang dijangka menyokong pertumbuhan hasil dan keuntungan kumpulan pada masa depan.

 

"Pelancaran projek berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi Avaland memperkukuh portfolio pembangunan hartanah dan mengekalkan momentum jualan, dengan tumpuan kepada projek yang memenuhi permintaan pembeli dalam pelbagai segmen pasaran," katanya dalam kenyataan.

 

Dua projek catat kadar pengambilan 100%

Menurutnya, Aetas Seputeh dan Amika Residences masing-masing mencatatkan kadar pengambilan 100%, manakala projek kediaman bertanah yang dilancarkan baru-baru ini turut menerima sambutan menggalakkan daripada pembeli.

 

Avaland merekodkan jualan baharu RM185 juta pada suku ketiga 2026, menjadikan jumlah jualan terkumpul bagi sembilan bulan pertama tahun ini sebanyak RM569.4 juta, dengan jualan belum dibilkan berjumlah RM897.2 juta setakat 30 September lalu.

 

Dalam usaha memperluas portfolio kediaman mewah, Avaland turut memperoleh tanah pegangan bebas seluas 1.9 ekar di Taman U-Thant, Kuala Lumpur, pada suku pertama 2026 untuk pembangunan projek kediaman dengan anggaran GDV RM700 juta.

 

Kumpulan kini mempunyai bank tanah kira-kira 189 ekar dengan potensi GDV RM12.3 bilion, yang dijangka menyokong pembangunan hartanah dan pertumbuhan perniagaannya untuk tempoh jangka panjang.

 

Keuntungan suku ketiga melonjak kepada RM29.9 juta

Dari segi prestasi kewangan, Avaland mencatatkan keuntungan bersih RM29.9 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, meningkat daripada RM8.1 juta pada tempoh sama tahun lalu, manakala hasil melonjak 62.4% kepada RM220 juta berbanding RM135.5 juta, disokong kemajuan kerja pembinaan dan sumbangan projek pembangunan sedia ada serta projek baharu.

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, keuntungan bersih kumpulan meningkat 53.5% kepada RM59.1 juta daripada RM38.5 juta, manakala hasil bertambah 23.8% kepada RM543.7 juta berbanding RM439.1 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Mengulas prospek pasaran, Avaland menjangkakan sektor hartanah Malaysia kekal positif secara berhati-hati, disokong kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75% serta langkah Belanjawan 2027, termasuk cadangan pengecualian duti setem bagi pembeli rumah pertama berharga sehingga RM750,000 dan jaminan pembiayaan perumahan sehingga RM20 bilion. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved