
PUTRAJAYA – Harga diesel tanpa subsidi bagi tempoh 22 hingga 28 Oktober turun sebanyak 10 sen iaitu daripada RM5.17 kepada RM5.07 seliter.
Kementerian Kewangan berkata, sementara itu, RON95 turun sebanyak 30 sen daripada RM4.62 kepada kepada RM4.32 seliter.
Sementara itu, RON97 juga turun 30 sen daripada RM5.10 kepada RM4.80 seliter.
“Meskipun harga minyak mentah Brent kekal melebihi AS$100 setong, harga produk
petroleum bertapis di pasaran serantau mula menyederhana dalam tempoh pengiraan APM.
“Penyusutan harga ini didorong oleh jangkaan peningkatan bekalan dari China, disokong oleh pengeluaran berterusan dari negara Asia lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Kementerian Kewangan berkata, paras harga minyak mentah yang kekal tinggi mencerminkan risiko gangguan bekalan susulan konflik geopolitik yang berterusan.
“Dalam jangka sederhana, harga petroleum dunia dijangka terus tidak menentu.
“Kerajaan akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global ini,” jelasnya.
Seperti diumumkan dalam Belanjawan 2027, Kementerian Kewangan menjelaskan, kerajaan dijangka membelanjakan RM40 bilion bagi subsidi bahan api pada tahun hadapan.
“Langkah ini bertujuan menyokong pertumbuhan ekonomi serta menjamin kelangsungan mata pencarian rakyat.
“Pada harga semasa, penerima Budi Madani RON95 terus membayar RM1.99 seliter berbanding harga RON95 tanpa subsidi RM4.32 seliter.
“Ini bermakna kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.33 seliter, bersamaan 54 peratus daripada harga tanpa subsidi,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Harga diesel turun 10 sen, RON95 turun 30 sen appeared first on Kosmo Online.





