Subsidi RON95, diesel beri manfaat sehingga RM1,228 sebulan kepada penerima layak - Parlimen diberitahu

LocalPolitics
19 Oct 2026 • 10:58 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Subsidi RON95, diesel beri manfaat sehingga RM1,228 sebulan kepada penerima layak - Parlimen diberitahu Image from: Subsidi RON95, diesel beri manfaat sehingga RM1,228 sebulan kepada penerima layak - Parlimen diberitahu sarah19/10/2026 - 10:58 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Okt - Rakyat Malaysia yang layak menerima subsidi bahan api berpotensi menikmati manfaat sehingga RM1,228 sebulan bagi diesel dan RM789 bagi petrol RON95, bergantung kepada jenis bahan api serta penggunaan kuota penuh yang ditetapkan kerajaan.

 

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, manfaat itu berdasarkan harga bahan api bagi tempoh 15 hingga 21 Oktober 2026, iaitu RM4.62 seliter bagi RON95 dan RM5.17 seliter bagi diesel.

 

Menurut beliau, kelayakan asas BUDI MADANI membolehkan penerima menggunakan sehingga 300 liter sebulan secara fleksibel bagi pembelian RON95 atau diesel bersubsidi, manakala pemilik kenderaan diesel persendirian jenis jip dan pikap yang layak diberikan tambahan 100 liter sebulan.

 

“Penggunaan penuh 300 liter RON95 memberi manfaat subsidi RM789 sebulan bagi setiap individu, manakala bagi 400 liter diesel oleh penerima yang layak, sebanyak RM1,228 manfaat subsidi akan diperoleh,” katanya dalam jawapan kepada soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mengenai langkah kerajaan membantu isi rumah berpendapatan pertengahan (M40) yang tidak lagi layak menerima bantuan bersasar tetapi masih terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

 

sar

 

Bantuan kos sara hidup turut diperluas kepada M40

Chin Tong berkata, kerajaan turut mengambil kira tekanan kewangan yang dihadapi golongan M40 menerusi Belanjawan 2027, termasuk memperluas perlindungan subsidi elektrik kepada penggunaan sehingga 800 kilowatt-jam (kWj) sebulan yang dijangka memanfaatkan sehingga 90% pengguna domestik.

 

Selain itu, kerajaan menyediakan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) MADANI sebanyak RM100 sebanyak dua kali, iaitu sebelum Aidilfitri dan menjelang sambutan ulang tahun ke-70 kemerdekaan negara, dengan inisiatif berkenaan dijangka memanfaatkan sehingga 13 juta rakyat Malaysia termasuk golongan M40.

 

Dalam usaha meringankan beban kewangan isi rumah, kerajaan turut meningkatkan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000, selain mengurangkan kadar cukai pendapatan individu pemastautin sebanyak satu mata peratusan bagi pendapatan bercukai antara RM70,001 hingga RM150,000 mengikut banjaran berkaitan.

 

Beliau berkata, kerajaan juga meningkatkan peruntukan Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro MADANI kepada RM750 juta bagi sasaran 35,000 penganjuran, selain menaikkan Bantuan Awal Persekolahan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid tanpa mengira kumpulan pendapatan, sebagai sebahagian daripada usaha memastikan golongan M40 terus mendapat manfaat daripada inisiatif kerajaan.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved