liza24/11/2026 - 16:45 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Nov – Harga rumah yang semakin tinggi khususnya bagi kediaman berharga RM500,000 dan ke atas antara faktor yang dikaitkan dengan lambakan 186,318 unit kediaman tidak terjual di Malaysia.
Ia melibatkan nilai keseluruhan dianggarkan antara RM105.3 bilion hingga RM230 bilion bagi projek yang dilancarkan sejak 2020.
Menurut platform data hartanah PropLaunch, sebanyak 45% daripada unit tidak terjual bagi projek yang dilancarkan pada separuh pertama 2026 membabitkan pembangunan dengan harga permulaan RM500,000 dan ke atas, manakala satu daripada 10 unit datang daripada projek berharga melebihi RM1 juta.
Keadaan itu mencerminkan cabaran yang dihadapi pemaju hartanah untuk memasarkan projek rumah baharu, khususnya ketika kemampuan pembeli dan permintaan pasaran berdepan tekanan.
PropLaunch berkata, kebanyakan unit tidak terjual datang daripada pembangunan yang dilancarkan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini dengan projek pada 2025 menyumbang 78,666 unit manakala projek separuh pertama 2026 merekodkan 52,229 unit. Secara keseluruhan, kedua-dua tempoh itu menyumbang kira-kira 70% daripada keseluruhan stok kediaman tidak terjual di negara ini.
Harga rumah tinggi, kadar tidak terjual meningkat
PropLaunch berkata, purata harga rumah yang direkodkan di seluruh negara ialah RM507,533 pada suku pertama 2026, menunjukkan harga permulaan bagi sebahagian besar pembangunan baharu berada pada paras yang melebihi kemampuan pembeli.
Pembangunan dengan harga permulaan antara RM750,000 hingga RM999,000 mencatatkan kadar tidak terjual tertinggi sebanyak 67.4%, manakala projek berharga bawah RM300,000 merekodkan kadar paling rendah, iaitu 48.2%.
Sementara itu, kadar unit tidak terjual bagi kumpulan harga lain berada sekitar 60%, menunjukkan kelembapan jualan bukan hanya tertumpu kepada pembangunan berharga tinggi.
Selangor, Johor dan Kuala Lumpur catat lambakan tertinggi
Dari segi taburan geografi, Selangor merekodkan jumlah unit tidak terjual tertinggi bagi projek yang dilancarkan pada separuh pertama 2026 iaitu sebanyak 14,980 unit.
Ia diikuti Johor dengan 10,593 unit dan Kuala Lumpur sebanyak 8,885 unit dengan ketiga-tiga pasaran itu secara keseluruhan menyumbang kira-kira dua pertiga daripada unit tidak terjual dalam tempoh berkenaan.
Pulau Pinang pula mencatatkan kadar tidak terjual tertinggi dalam kalangan negeri yang mempunyai aktiviti pelancaran projek ketara apabila 75.9% daripada 8,161 unit kediaman baharu yang dilancarkan masih belum terjual.
PropLaunch berkata, sebanyak 480 projek kediaman melibatkan 90,431 unit dilancarkan pada separuh pertama 2026, dengan 52,345 unit atau 57.9% daripadanya masih belum terjual. Nilai keseluruhan unit tidak terjual daripada projek dalam tempoh itu dianggarkan antara RM30.4 bilion hingga RM56.2 bilion.
Kelulusan pinjaman perumahan turut merosot
Dalam perkembangan berkaitan, peningkatan stok kediaman tidak terjual berlaku ketika jumlah pinjaman perumahan yang diluluskan menunjukkan penurunan, meskipun Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75% sepanjang 2026.
Nilai permohonan pinjaman perumahan meningkat 2.6% tahun ke tahun kepada RM231.03 bilion, namun jumlah pinjaman yang diluluskan merosot 1.2% kepada RM90.35 bilion.
PropLaunch turut memaklumkan bahawa pembangunan yang dilancarkan sepanjang 2026 sahaja menyumbang kira-kira 94,800 unit kediaman tidak terjual, lebih tinggi berbanding keseluruhan projek yang dilancarkan antara 2020 hingga 2024. Selain itu, sebanyak 42,619 unit masih belum terjual daripada 298 projek yang dilancarkan antara Julai hingga Oktober 2026.
Berdasarkan kadar jualan semasa, lambakan kediaman tidak terjual sedia ada di Malaysia dianggarkan mengambil masa kira-kira 39 bulan untuk dihabiskan, dengan andaian tiada bekalan baharu memasuki pasaran.
PropLaunch berkata, sebanyak 4,759 unit kediaman berjaya dijual daripada pembangunan berkenaan sepanjang bulan lalu, bersamaan kira-kira 1,110 unit seminggu.- DagangNews.com






