liza19/11/2026 - 15:24 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Nov – Pertumbuhan segmen pascabayar, jalur lebar gentian dan perniagaan korporat mendorong peningkatan 5.4% keuntungan selepas cukai (PAT) CelcomDigi Berhad kepada RM1.24 bilion bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026 (9MFY26), berbanding RM1.18 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagi tempoh berakhir 30 September 2026 itu, hasil keseluruhan kumpulan meningkat 2% kepada RM9.7 bilion daripada RM9.51 bilion manakala hasil perkhidmatan berkembang 1.5% kepada RM8.19 bilion berbanding RM8.08 bilion sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata keuntungan sebelum faedah dan cukai (EBIT) turut meningkat 3.8% kepada RM2.16 bilion berbanding RM2.08 bilion, disokong pertumbuhan hasil perkhidmatan, perbelanjaan operasi lebih rendah serta pengurusan kos secara berdisiplin.
“Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (Q3FY26), hasil keseluruhan meningkat 5.8% tahun ke tahun kepada RM3.31 bilion berbanding RM3.13 bilion dalam suku sama tahun sebelumnya.
“Hasil perkhidmatan pula meningkat 1.4% kepada RM2.77 bilion daripada RM2.73 bilion, manakala PAT normalisasi bagi suku berkenaan meningkat 18% kepada RM413 juta berbanding RM350 juta sebelumnya,” katanya.
Pertumbuhan pascabayar dan gentian pacu hasil
Segmen pascabayar mencatatkan peningkatan hasil 2.7% tahun ke tahun kepada RM1.1 bilion, manakala jumlah pelanggannya bertambah 3% atau 179,000 kepada 6.2 juta.
Segmen Home & Fibre pula merekodkan pertumbuhan lebih tinggi apabila hasil meningkat 33% kepada RM98 juta, manakala jumlah pelanggan berkembang 28% atau 72,000 kepada 332,000.
Selain itu, prestasi tersebut disokong pertambahan pelanggan perkhidmatan gentian dan akses wayarles tetap (FWA), seiring penawaran pakej yang menggabungkan perkhidmatan mudah alih dan jalur lebar.
Bagi segmen prabayar, CelcomDigi turut mencatatkan peningkatan prestasi 1.1% berbanding suku sebelumnya menerusi inisiatif pengekalan pelanggan dan mengaktifkan semula pangkalan pelanggan, manakala purata hasil bagi setiap pengguna yang menjana pendapatan (RGB ARPU) meningkat RM1.10 kepada RM38.
Penjimatan kos operasi cecah RM282 juta
Dari segi kecekapan operasi, program kecemerlangan operasi (OE) CelcomDigi menjana penjimatan RM282 juta bagi sembilan bulan pertama 2026, termasuk RM141 juta pada suku ketiga sahaja.
Penjimatan itu dicapai menerusi penyatuan pelbagai platform operasi serta usaha meningkatkan kecekapan kos secara berstruktur. CelcomDigi berkata peningkatan PAT turut disokong prestasi operasi asas yang lebih baik serta perbelanjaan susut nilai dan pelunasan (D&A) yang lebih rendah.
Pada masa sama, perbelanjaan modal (CAPEX) bagi 9MFY26 berjumlah RM431 juta berbanding RM842 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, susulan pelaksanaan perbelanjaan modal secara berdisiplin dan kecekapan kos ketika ketidaktentuan berkaitan spektrum.
Umum dividen interim ketiga 3.4 sen sesaham
Dalam perkembangan lain, CelcomDigi mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 3.4 sen sesaham, selaras komitmennya untuk mengekalkan pembayaran dividen mampan kepada pemegang saham.
Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Albern Murty berkata, kumpulan melaksanakan strategi dengan memberi tumpuan kepada pertumbuhan hasil, kecekapan kos dan usaha integrasi perniagaan.
Katanya, CelcomDigi akan terus meningkatkan nilai kepada pelanggan menerusi penawaran produk inovatif selain meneroka peluang pertumbuhan perniagaan dengan pendekatan lebih cekap.
Dalam usaha meningkatkan kapasiti dan kualiti rangkaian, CelcomDigi turut menerima peruntukan spektrum tambahan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), merangkumi 2x20 MHz dalam jalur 2,600 MHz serta 2x5 MHz dalam jalur 900 MHz.
Spektrum tambahan itu akan meningkatkan kecekapan perbelanjaan modal selain mempertingkat kapasiti rangkaian dan kualiti perkhidmatan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.
CelcomDigi menutup suku ketiga dengan 20.2 juta pelanggan. Kumpulan itu turut mengembangkan rangkaian peruncitannya kepada 63 CelcomDigi Store di seluruh negara, termasuk cawangan utama ketiga CelcomDigi Life Store di 118 Mall, selain 262 cawangan CelcomDigi Express. - DagangNews.com






