
Harga Tiket F1 Gulf Air Bahrain GP Diputuskan Bahrain - CEO SIC
SEPANG, 28 Julai (Bernama) -- Harga tiket Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix yang dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 hingga 4 Okt ini, akan diputuskan oleh Bahrain, kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif.
Beliau berkata Bahrain menanggung yuran hak penganjuran Formula 1 bagi perlumbaan berkenaan dan berdasarkan rundingan awal, semua hasil jualan tiket akan disalurkan kepada negara itu, sekali gus menjadikan keputusan mengenai harga tiket tertakluk kepada Bahrain.
Bagaimanapun Azhan Shafriman berkata perkara itu masih dalam rundingan bersama Bahrain International Circuit (BIC) dan segala perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“Apa yang saya faham daripada perbincangan awal, semua hasil jualan tiket akan dikembalikan kepada Bahrain. Jadi kita tidak mempunyai kuasa mutlak. Saya tahu ramai netizen mahukan tiket murah atau “Tiket Rahmah/Madani”.
“Saya akan cuba yang terbaik untuk dapatkan harga istimewa, mungkin harga khas MyKad, tetapi keputusan akhir adalah di tangan Bahrain,” katanya kepada pemberita pada sidang media bersama SIC di sini hari ini.
Azhan Shafriman berkata setakat ini, rundingan masih tertumpu kepada aspek operasi dan belum memasuki fasa komersial yang melibatkan penjualan tiket, pakej hospitaliti dan jualan.
Beliau berkata pasukan Bahrain dijangka tiba di Malaysia minggu depan bagi mengadakan rundingan secara bersemuka, yang dijangka memberi gambaran lebih jelas mengenai urusan tiket, hospitaliti dan perkara komersial lain.
“Pasukan mereka akan datang ke sini minggu hadapan secara fizikal, jadi kita akan ada lebih kejelasan. Minggu ini kita masih ada mesyuarat dalam talian,” katanya.
Azhan Shafriman berkata jualan tiket dijangka akan dijual pada minggu pertama Ogos atau lebih awal daripada tarikh itu.
“Saya berharap saya boleh berikan lebih banyak maklumat dalam beberapa hari ini dan berharap kita boleh umumkan jualan tiket secepat mungkin,” katanya.
Ahad lepas, Formula 1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah Grand Prix Formula 1 Gulf Air Bahrain susulan perjanjian yang dimeterai antara Formula 1, FIA serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.
Acara yang dijadual berlangsung di SIC itu, akan mengekalkan nama asalnya Grand Prix Formula 1 Gulf Air Bahrain di Malaysia, tertakluk kepada perjanjian yang dimuktamadkan dan kelulusan rasmi, termasuk daripada Majlis Sukan Permotoran Dunia.
Perjanjian itu membolehkan Grand Prix Bahrain kekal dalam kalendar Formula 1 musim 2026, selepas perlumbaan berkenaan dibatalkan pada awal musim ini susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Malaysia sebelum ini pernah menjadi tuan rumah Grand Prix Malaysia di Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar Formula 1.






