Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, menzahirkan rasa sebak selepas berkesempatan menziarahi keluarga Allahyarham pelumba muda negara, Farres Putra di Shah Alam, hari ini.

Kunjungan itu dilakukan selepas beliau menghadiri sambutan Hari Kebangsaan, selain menjadi ruang buatnya menyampaikan salam takziah serta memberi sokongan kepada keluarga Allahyarham yang sedang berdepan kehilangan insan tersayang.
Menurut Taufiq, pemergian Farres bukan sahaja meninggalkan kesan kepada keluarganya, malah memberi pengajaran bahawa singkatnya kehidupan manusia.
“Saya datang untuk menziarahi sebuah keluarga yang sedang kehilangan seorang anak. Tetapi saya pulang dengan hati yang lebih banyak belajar tentang hidup. Tentang betapa singkatnya usia kita,” katanya.
Dalam pada itu, Taufiq turut mengenang perjalanan karier Allahyarham yang sejak kecil sudah mula bertatih di dalam dunia permotoran.
Katanya, ketika berusia tiga tahun, Farres sudah biasa berada di dalam kereta lumba milik bapanya, Mohd Fadhill, yang ketika itu merupakan pelumba kereta profesional.

Minat terhadap sukan permotoran itu kemudiannya berkembang menjadi impian yang dikejar Farres dengan sokongan keluarganya.
Melihat kesungguhan anaknya terhadap dunia perlumbaan, Mohd Fadhill akhirnya memberi ruang kepada Farres untuk mengejar impian tersebut.
Allahyarham kemudiannya melalui pelbagai program pembangunan sukan bermotor di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), sebelum melangkah ke peringkat profesional.
Antara pencapaian yang pernah diraih Farres ialah muncul Juara Keseluruhan FIM MiniGP Malaysia 2021 dan mewakili Malaysia ke FIM MiniGP World Series Final di Valencia, Sepanyol.
Beliau turut mencatat kemenangan serta beberapa podium dalam saingan Malaysian Cub Prix, termasuk menaiki podium pada Pusingan 3 CP150 di Dataran Seri Jempol pada 2026, selain merekodkan kemenangan sulung dalam kategori CP150.
Bagaimanapun, menurut Taufiq, perjalanan hidup manusia tidak pernah dapat dijangka dan setiap perancangan akhirnya tertakluk kepada ketentuan Tuhan.
“Namun, manusia hanya mampu merancang. Tidak pernah kita tahu urusan mana ataupun aktiviti yang mana satu merupakan urusan terakhir di muka bumi,” jelasnya.
Lebih menyentuh hati apabila beliau dimaklumkan oleh rakan-rakan Allahyarham bahawa doa Farres selepas solat beberapa hari sebelum pemergiannya terasa lebih panjang daripada kebiasaan.
Katanya, kisah tersebut membuatkan hatinya tersentuh dan menjadi antara perkara yang paling diingatinya ketika menziarahi keluarga Allahyarham.
“Kisah itu membuat hati saya tersentuh. Mungkin itu antara doa-doa terakhir Farres bersama Allah.
“Tiada siapa menyangka itulah antara detik-detik terakhirnya di dunia. Ada salam yang sebenarnya salam terakhir. Ada pelukan yang sebenarnya pelukan terakhir. Ada doa yang rupanya doa terakhir,” kongsinya.

Sementara itu, Taufiq berkata, beliau turut tersentuh melihat ketabahan ibu bapa Allahyarham, Mohd Fadhill dan Norfadzilah, dalam menghadapi kehilangan anak mereka.
Katanya, tiada kata yang benar-benar mampu menggambarkan beratnya kehilangan seorang anak, namun ketabahan kedua-duanya dalam menerima ketentuan Tuhan amat menyentuh hatinya.
Taufiq berkata, walaupun Farres kini sudah meninggalkan litar buat selama-lamanya, kenangan terhadap Allahyarham sebagai seorang anak yang mengejar impian, sahabat yang menceriakan rakan-rakannya serta anak yang amat disayangi ibu bapanya akan terus kekal dalam ingatan mereka yang mengenalinya.
Beliau turut mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama para solihin, diampunkan segala dosa, diterima segala amal serta dilapangkan kuburnya.
“Buat Abang Fadhill, Kak Norfadzilah dan seluruh keluarga, semoga Allah terus memeluk kalian dengan rahmat dan kesabaran. Al-Fatihah,” tambahnya lagi.
Untuk info, Pelumba berusia 18 tahun itu terbabit kemalangan pada pusingan pertama perlumbaan Malaysia Cub Prix di Litar Permotoran Gong Badak sebelum dikejarkan ke Hospital Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, kecederaan parah yang dialami menyebabkan Farres menghembuskan nafas terakhir tidak lama kemudian.





