
KUALA LUMPUR: Tiada atlet yang mahukan kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) menimpa mereka, namun, pemain skuasy negara, Harith Danial Jefri masih tetap positif dan Sukan SEA 2027 menjadi sasaran utamanya.
Pemain berusia 20 tahun itu mengakui, kecederaan ACL merupakan satu isu besar buat mana-mana atlet termasuk dirinya, tetapi, dia percaya kepada pakar fisioterapi di Institut Sukan Negara (ISN) yang membantu sejak hari pertama kecederaannya lagi.
“Saya cuma perlu berdisiplin dengan sesi rehabilitasi. Kekal positif adalah perkara paling penting. Saya tak nak fikir terlalu jauh tentang apa yang akan berlaku tiga atau enam bulan lagi.
“Saya cuma fokus pada apa yang saya perlu buat hari ini dan esok. Kalau kena buat tiga jam fisioterapi saya akan buat. Matlamat utama saya tetap Sukan SEA 2027 dan saya akan cuba kembali ke gelanggang secepat mungkin,” katanya ketika ditemui pemberita di ISN dekat sini, hari ini.
Menurut anak jati Miri, Sarawak itu, dia tidak pernah mengalami kecederaan serius sebelum ini dan selepas menjalani pembedahan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, minggu lalu, fokusnya kini untuk pemulihan fizikal.
“Saya belum boleh buat aktiviti macam berbasikal lagi. Sekarang fokus saya adalah untuk menguatkan semula otot yang susut selepas pembedahan dan belajar berjalan tanpa tongkat.
“Langkah demi langkah. Baru seminggupun lepas pembedahan, jadi perjalanan masih jauh,” ujarnya.
Mengimbas kembali punca kecederaan yang dialaminya, Harith memberitahu, masalah itu diperolehinya sewaktu menyertai sebuah kejohanan antarabangsa di Singapura dan dia berjaya mara sehingga ke final menentang rakan senegara, Mohammad Syafiq Kamal.
Tambahnya, pada waktu itu, dia tewas dua set pertama, namun, berjaya bangkit dalam set ketiga, tetapi, ketika mendahului kakinya secara tiba-tiba terseliuh sehingga tidak mampu untuk berdiri.
“Saya terdengar bunyi ‘pop’ dekat lutut saya dan saya terus jatuh ke lantai. Saya tak fikir banyak, cuma fikir apa yang akan jadi selepas itu. Saya tak boleh rasa seluruh kaki kanan saya dan tak boleh gerakkan badan langsung,” katanya.
Jelas Harith, sebaik pulang ke tanah air dan menjalani pemeriksaan menyeluruh, doktor pakar sahkan dia mengalami kecederaan ACL gred tiga serta menasihatkannya menjalani pembedahan segera bagi mengelak keadaan semakin memburuk.
“Saya tak rasa terlalu kecewa. Saya cuma kena terima hakikat dan kekal positif untuk pulih sepenuhnya. Kawan-kawan, mak, ayah, jurulatih, ISN dan MSN sangat menyokong saya.
“Saya tak rasa ini titik terendah dalam hidup saya, cuma satu cabaran dalam perjalanan skuasy saya. Saya yakin akan kembali lebih kuat,” tegasnya. – UTUSAN
The post Harith optimis pulih cedera ACL sebelum Sukan SEA 2027 appeared first on Utusan Malaysia.






