
PENAMPILAN sulung Chai Kai Le di pentas Sukan Malaysia (Sukma) berakhir dengan sejarah tersendiri apabila atlet rejam lembing Johor itu bukan sahaja meraih pingat emas, malah memadam rekod kejohanan yang bertahan selama 26 tahun.
Bermula sebagai pemain badminton ketika di bangku sekolah rendah, Kai Le tidak pernah menyangka keputusan mencuba acara rejam lembing pada usia 12 tahun membawa tuah apabila dia muncul juara Sukma 2026 dan pemegang rekod kejohanan pada penampilan sulungnya.
Atlet pelapis berusia 18 tahun itu berjaya melakukan rejaman sejauh 64.44 meter (m) pada balingan kedua sekali gus memadam rekod 62.33m yang bertahan selama 26 tahun milik atlet Sarawak, Kho Mei Kuan yang melakukannya pada Sukma 2000 di Pulau Pinang.
“Saya mula dengan rejam lembing sejak darjah enam. Dulu saya main badminton, tetapi cikgu nampak tangan saya laju ketika melakukan ‘release’, jadi dia suruh saya cuba rejam lembing.
“Selepas itu saya tengok atlet senior melakukan rejaman dan saya terfikir, satu hari nanti saya mahu jadi seperti mereka. Pada edisi kali ini saya memang datang untuk pecah memecahkan rekod kejohanan.
“Saya sudah bersedia untuk Sukma selama dua tahun, jadi memang puas hati dan gembira. Lagipun saya juga baru pulang dari menyertai kejohanan di Indonesia,” katanya.
Pingat perak dimenangi atlet Pulau Pinang, Tan Chun Wei menerusi catatan 60.43m, manakala seorang lagi wakil Johor, Mohd Noor Iman Norman meraih gangsa dengan 59.04m.
Kai Le kini mengalihkan fokus kepada sasaran lebih besar apabila memburu rejaman 70m tahun depan bagi membuka peluang mewakili negara ke Sukan SEA 2027 di Kuala Lumpur.
The post Sukma 2026: Rekod 26 tahun akhirnya lebur appeared first on Kosmo Digital.






