Harta yang diamanah bukan untuk diseleweng – Sultan Selangor

LocalPolitics
28 Aug 2026 • 5:14 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Harta diamanah diseleweng

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan harta yang diamanahkan kepada pihak yang diberi kuasa mengurus tidak sepatutnya dibiarkan dengan tindakan penyelewengan demi kepentingan peribadi.

Pejabat Sultan Selangor dalam kenyataan berkata, baginda bertitah, sesungguhnya tanggungjawab mengurus dana awam dengan amanah adalah tanda cinta individu itu kepada umat dan negara.

Katanya, Sultan Selangor mahu mahu setiap ahli masyarakat menunaikan setiap amanah yang diberikan dengan penuh kejujuran, walau sekecil apa pun amanah tersebut, kerana amanah merupakan asas kepada kesejahteraan dan kemerdekaan yang hakiki.

“Yang bersalah wajib dihukum, yang amanah wajib disokong dan sistem yang baik hendaklah terus diperbaiki dari masa ke masa. Semoga Allah SWT meletakkan perbendaharaan umat Islam Malaysia di tangan hamba-hamba-Nya yang bertakwa lagi amanah,” katanya di sini, hari ini.

Tambah kenyataan itu, Sultan Sharafuddin bertitah demikian selepas berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat dan Tahlil sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-69 Peringkat Selangor dan menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Turut berangkat menemani baginda, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Baginda dalam masa menyatakan senada dengan pesanan khatib dalam khutbahnya bertajuk ‘Merdeka daripada dibelenggu kerakusan’ supaya umat Islam memelihara amanah dengan membebaskan diri daripada cengkaman hawa nafsu, ketamakan dan pengkhianatan.

“Ini kerana kemerdekaan yang hakiki bermula dengan kemampuan mengawal diri daripada perkara yang merosakkan.

“Baginda bimbang, ketika rakyat bergelut dengan kesusahan, segelintir pihak pula menikmati kekayaan hasil amanah yang dikhianati dan keadilan yang dipermainkan. Inilah kezaliman yang lahir apabila kuasa tidak lagi dipandu dengan sifat amanah, sebaliknya dikuasai dengan kerakusan nafsu,” tegasnya.

Malah kata kenyataan itu lagi, Sultan Selangor turut menzahirkan kebimbangan terhadap amanah yang dikhianati demi kepentingan diri merupakan antara tanda-tanda kehidupan di akhir zaman yang semakin jelas.

“Baginda turut mengingatkan, janganlah sesekali kita menyangka bahawa orang-orang yang berlaku zalim akan terlepas daripada pengadilan Allah SWT.

“Hakikatnya Allah SWT sengaja menangguhkan azab ke atas mereka yang zalim agar mereka merasakan betapa dahsyat dan gerunnya kemurkaan Allah SWT,” ujarnya. – UTUSAN

The post Harta yang diamanah bukan untuk diseleweng – Sultan Selangor appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved