amree30/07/2026 - 17:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Julai — YBS International Berhad berjaya mencatatkan kembali keuntungan bersih mencecah sebanyak RM14.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY26).
Prestasi positif itu menurut maklumannya kepada Bursa Malaysia, didorong oleh keuntungan nilai saksama sebanyak RM45.0 juta hasil daripada penilaian semula hartanah pelaburannya.
Perkembangan berkenaan turut menandakan pemulihan secara signifikan bagi kumpulan berbanding kerugian bersih RM10.9 juta yang pernah dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya (FY25).
"Hasil kumpulan ini turut melonjak kira-kira 26.2% kepada sebanyak RM149.5 juta berbanding hanya RM118.5 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya itu," jelas YBS International.
Peningkatan dipacu oleh sumbangan lebih kuat daripada segmen perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) daripada permintaan pelanggan yang tinggi dan kapasiti operasi semakin diperluas.
Sekiranya prestasi mengikut segmen, bahagian pemesinan jitu dan setem masih kekal sebagai penyumbang terbesar dengan 35.9% daripada keseluruhan jumlah pendapatan kumpulan.

EMS pula ujar YBS International, menunjukkan pertumbuhan secara paling ketara dengan sumbangan meningkat kepada 30.1%, berbanding 19.8% pada FY25 berikutan strategi pengembangan perniagaan.
"Sementara itu, segmen produk kertas dan kejuruteraan jitu didapati terus memberikan sumbangan yang stabil kepada profil pendapatan kumpulan sepanjang tahun kewangan berkenaan," katanya.
FY26 merupakan tahun transformasi dengan penyempurnaan pengambilalihan empat subsidiari baharu di bawah Allied Group pada 8 April 2026, yang memperkukuhkan keupayaan teknikal syarikat itu.
Langkah itu meluaskan pembuatan YBS International ke Thailand dan Vietnam, selain pembangunan kemudahan baharu di Perai, Pulau Pinang kini berjalan lancar menyokong pertumbuhan masa depan.
Sebagai sebahagian inisiatif penjenamaan semula bagi mencerminkan strategi visi pertumbuhan baharu, ia mencadangkan pertukaran nama syarikat kepada Allied Advance Technologies Berhad.
"Lembaga Pengarah menyatakan keyakinan FY27 menjadi tahun pelaksanaan dengan kumpulan berada pada kedudukan tepat meraih peluang sektor elektrik dan elektronik (E&E) global," katanya. - DagangNews.com






