Harvard bayar RM215.49 juta selesai saman kes jual organ mayat

20 Aug 2026 • 1:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Harvard bayar RM215.49 juta selesai saman kes jual organ mayat

BOSTON: Universiti Harvard bersetuju membayar AS$53 juta (RM215.49 juta) bagi menyelesaikan saman difailkan keluarga individu yang mendakwa institusi itu cuai mengurus mayat insan tersayang mereka yang didermakan kepada sekolah perubatannya.

Saman difailkan selepas bahagian tubuh dan organ mayat yang didermakan itu didapati dijual di pasaran gelap oleh bekas pengurus bilik mayat institusi berkenaan.

Hakim mahkamah negeri di Boston pada 18 Ogos memberikan kelulusan awal terhadap penyelesaian tuntutan berkelompok itu, yang akan menamatkan saman terhadap Harvard susulan penahanan bekas pengurus bilik mayat Sekolah Perubatan Harvard, Cedric Lodge pada 2023.

Lodge yang bekerja di bilik mayat Harvard selama hampir tiga dekad, dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh hakim persekutuan pada Disember lalu kerana mencuri dan menjual organ serta bahagian lain mayat yang didermakan kepada universiti itu untuk tujuan penyelidikan dan pendidikan perubatan.

Pendakwa raya berkata, sejak 2018, Lodge mencuri bahagian tubuh daripada mayat termasuk kepala, muka, otak, kulit dan tangan sebelum membawanya dari bilik mayat Harvard di Boston ke kediamannya di Goffstown, New Hampshire.

Dia dan isterinya kemudian menjual bahagian tubuh berkenaan.

Puluhan anggota keluarga kemudian  memfailkan saman terhadap universiti itu atas dakwaan kecuaian, termasuk mendakwa pihak pengurusan menutup mata terhadap salah laku Lodge yang berlaku selama bertahun-tahun sehingga dia didakwa pada 2023.

Seorang hakim pada awalnya menolak kes berkenaan, namun Mahkamah Agung Kehakiman Massachusetts pada Oktober lalu menghidupkan semula tuntutan tersebut.

Mahkamah itu berkata, plaintif mempunyai asas mencukupi untuk mendakwa Harvard gagal bertindak dengan niat baik dalam mengendalikan mayat berkenaan yang disifatkan mengalami perlakuan mengerikan dan tidak bermaruah selama bertahun-tahun.

Penyelesaian berhubung kes itu turut merangkumi komitmen Sekolah Perubatan Harvard untuk mengeluarkan kenyataan kepada keluarga menerusi webinar secara langsung yang mengesahkan perbuatan jenayah Lodge adalah tercela dari segi moral.

Mulai tahun akademik 2027-2028, Sekolah Perubatan Harvard juga akan menyediakan biasiswa tahunan kepada pelajar perubatan sebagai penghormatan kepada semua penderma  untuk tujuan anatomi.

The post Harvard bayar RM215.49 juta selesai saman kes jual organ mayat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved