
PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berharap Anthony Loke mengubah pendiriannya berhubung hasrat untuk melepaskan jawatan Menteri Pengangkutan kerana masih banyak perkara perlu dilaksanakan demi kepentingan rakyat dan negara.
Beliau berkata, perkara itu telah disuarakan secara peribadi kepada Loke sebaik sahaja mendapat tahu mengenai hasrat itu dan berharap kepimpinan Menteri Pengangkutan itu dapat diteruskan.
“Terus terang, saya cakap dengannya, ‘YB, come on-lah, I hope you change your mind-lah’.
“Saya beritahu beliau masih banyak kerja nak buat lagi,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan dan Majlis Cahaya MADANI sempena sambutan Deepavali bersama warga kementerian di sini hari ini.
Katanya, sepanjang tempoh bekerja di bawah kepimpinan Loke, beliau mengakui banyak perubahan besar dalam landskap pengangkutan negara.
Hasbi berkata, Loke bukan sekadar seorang menteri yang bekerja berdasarkan perancangan di atas kertas, sebaliknya pemimpin yang turun padang, mendengar suara rakyat serta memberikan kepercayaan dan ruang kepada warga kementerian untuk berkongsi pandangan.
“Secara peribadi, sebagai Timbalan Menteri, tempoh berkhidmat di bawah kepimpinan Loke adalah satu penghormatan bagi saya.
“Ketegasan beliau dalam mempertahankan prinsip, ketepatan dalam membuat keputusan dan komitmen terhadap tadbir urus yang jelas akan sentiasa menjadi rujukan serta teladan buat saya dan seluruh warga kementerian,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kerjasama dengan Loke sebagai bukti bahawa perbezaan latar belakang politik bukan penghalang untuk mencapai matlamat bersama, khususnya dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
Jelasnya lagi, beliau yakin segala legasi, dasar, sistem dan budaya kerja cemerlang yang diterapkan Loke akan terus menjadi panduan kepada warga MOT dalam memastikan kesinambungan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. – UTUSAN
The post Hasbi harap Anthony Loke ubah pendirian, teruskan khidmat appeared first on Utusan Malaysia.






