Peletakan jawatan Anthony Loke: Jangan rakyat jadi mangsa polemik politik - Pemuda UMNO

LocalPolitics
11 Nov 2026 • 3:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Peletakan jawatan Anthony Loke: Jangan rakyat jadi mangsa polemik politik - Pemuda UMNO
Menurut Mohd Hairi, perbezaan pendirian politik tidak sepatutnya menjejaskan penghormatan terhadap institusi raja dan undang-undang negara.

JOHOR BAHRU - Keputusan Anthony Loke meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan tidak seharusnya menyebabkan urusan rakyat menjadi mangsa polemik politik, terutama membabitkan perkhidmatan pengangkutan awam dan keselamatan jalan raya.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Hairi Mad Shah berkata, setiap pemimpin berhak membuat keputusan untuk meletakkan jawatan, namun tindakan itu wajar dinilai apabila dikaitkan secara langsung dengan pelaksanaan keputusan mahkamah berhubung baki hukuman Datuk Seri Najib Tun Razak melalui tahanan rumah.

Menurut beliau, perbezaan pendirian politik tidak sepatutnya menjejaskan penghormatan terhadap institusi raja dan undang-undang negara.

Beliau berkata, rakyat perlu memahami bahawa kuasa pengampunan adalah hak Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan bukannya keputusan mana-mana parti politik.

"YB Anthony Loke sendiri menyatakan bahawa DAP menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong. Saya menyambut baik kenyataan itu. Namun, penghormatan tidak boleh berhenti pada lafaz atau kata-kata.

"Apabila seorang anggota Jemaah Menteri meninggalkan Kabinet tepat pada hari perkenan Seri Paduka dan perintah mahkamah dilaksanakan, mesej yang sampai kepada rakyat ialah bantahan terhadap pelaksanaan itu sendiri," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, Anthony Loke mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta.

Menerusi satu kenyataan Anthony Loke berkata, keputusan itu diambil selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di kediamannya untuk menjalani perintah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta di ibu negara pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohd Hairi yang juga Exco Belia, Sukan, Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi negeri menegaskan, keputusan mahkamah berkenaan dibuat secara terbuka atas permohonan Jabatan Peguam Negara selepas meneliti dokumen pengampunan bersyarat, bukti pembayaran denda dan bahan berkaitan.

"Pelaksanaan tahanan rumah juga bukan bermaksud pembebasan kerana hukuman tetap berjalan, manakala denda RM50 juta telah dilunaskan serta tarikh setiap peringkat hukuman dinyatakan dengan jelas dalam perintah mahkamah.

"Perjuangan menolak rasuah bukan hak eksklusif mana-mana parti, namun prinsip itu perlu dipertahankan dengan menghormati proses undang-undang sehingga ke penghujungnya, termasuk apabila keputusan dibuat tidak selari dengan kehendak sendiri," katanya.

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan sama ada Anthony Loke mengambil kira tanggungjawab kementerian terhadap rakyat sebelum membuat keputusan meletakkan jawatan.

"Adakah beliau terfikir kementerian itu memikul urusan pengangkutan awam, keselamatan jalan raya dan projek yang dinanti rakyat, termasuk di Johor.

"Urusan rakyat tidak boleh menjadi mangsa polemik politik," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Hairi berkata, perbezaan pendirian dalam Kerajaan Perpaduan sepatutnya disuarakan melalui saluran sedia ada dan bukannya dengan tindakan yang boleh menimbulkan tanggapan bahawa perkenan Yang di-Pertuan Agong serta perintah mahkamah boleh dipersoalkan mengikut kepentingan politik.

"Kita boleh berbeza pendirian. Tetapi kita tidak boleh berbeza dalam menjunjung institusi raja dan mendaulatkan undang-undang," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved