hamden31/07/2026 - 15:19 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 31 Julai - Unisem (M) Bhd kekal optimis terhadap prospek perniagaannya walaupun berdepan tekanan inflasi kos dan turun naik mata wang asing, disokong oleh permintaan pelanggan yang semakin pulih, peningkatan tempahan serta aktiviti pengeluaran yang terus berkembang.
Penyedia perkhidmatan pemasangan dan ujian semikonduktor itu berkata, syarikat akan terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kecekapan operasi dan melaksanakan langkah mitigasi kos bagi mengukuhkan prestasi kewangan dalam persekitaran operasi yang mencabar.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Unisem berkata permintaan pelanggan terus menunjukkan peningkatan hasil proses kelayakan produk baharu yang berterusan, aktiviti peningkatan pengeluaran (production ramp-up) serta momentum tempahan yang kekal sihat.
Bagaimanapun, syarikat mengakui masih berdepan cabaran daripada inflasi kos dan turun naik kadar pertukaran mata wang susulan kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS).
Prestasi Kewangan
Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2QFY26), Unisem mencatat keuntungan bersih sebanyak RM9.91 juta berbanding RM9.13 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan sesaham turut meningkat kepada 0.62 sen daripada 0.57 sen sebelumnya.
Hasil bagi suku tersebut melonjak hampir 20% kepada RM570.12 juta berbanding RM475.15 juta setahun lalu, didorong oleh peningkatan jumlah jualan merentasi operasi utama kumpulan.
Namun begitu, bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 (1HFY26), Unisem merekodkan kerugian bersih sebanyak RM3.45 juta berbanding keuntungan bersih RM15.14 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Menurut syarikat, prestasi enam bulan itu dipengaruhi oleh kerugian pertukaran mata wang asing serta peningkatan perbelanjaan operasi.
Dari segi hasil, Unisem mencatat pertumbuhan sebanyak 15.1% kepada RM1.03 bilion bagi 1HFY26 berbanding RM898.77 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Peningkatan itu disokong oleh pertumbuhan jumlah jualan di semua unit operasi utama kumpulan.
Permintaan Dijangka Pulih
Melangkah ke hadapan, Unisem menjangkakan prospek perniagaannya terus bertambah baik sejajar pemulihan permintaan dalam industri semikonduktor global serta peningkatan pengeluaran bagi produk baharu.
Syarikat turut menegaskan komitmennya untuk terus meningkatkan kecekapan operasi dan mengawal kos bagi memastikan daya saing serta menyokong pertumbuhan mampan dalam tempoh jangka panjang. - DagangNews.com






