liza21/08/2026 - 18:34 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Ogos – Pesona Metro Holdings Berhad mencatat hasil suku tahunan tertinggi dalam sejarah kumpulan sebanyak RM255.6 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2QFY2026), meningkat 46% daripada RM174.8 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Peningkatan itu didorong terutamanya oleh sumbangan lebih kukuh daripada bahagian pembangunan hartanah menerusi anak syarikatnya, Gaya Kuasa Sdn Bhd susulan peningkatan jumlah projek yang siap serta jualan yang lebih tinggi.
Seiring dengan pertumbuhan hasil, keuntungan sebelum cukai (PBT) melonjak 114% kepada RM31 juta berbanding RM14.5 juta pada 2QFY2025.
Prestasi Kewangan Terus Mengukuh
Keuntungan selepas cukai yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat induk (PATAMI) pula meningkat 47% kepada RM13.7 juta daripada RM9.3 juta, manakala pendapatan sesaham (EPS) turut naik 47% kepada 1.97 sen berbanding 1.34 sen sebelumnya.
Pesona Metro berkata prestasi lebih baik itu disokong oleh margin projek pembinaan yang bertambah baik, sumbangan kukuh daripada Gaya Kuasa serta prestasi konsisten bahagian aset konsesi dan penyelenggaraan.
“Bahagian pembangunan hartanah menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan suku berkenaan apabila hasilnya meningkat 34% kepada RM106.6 juta daripada RM79.8 juta pada 2QFY2025.
“Bahagian itu menyumbang 42% daripada keseluruhan hasil kumpulan, manakala bahagian pembinaan kekal sebagai penyumbang terbesar dengan hasil RM142.9 juta atau 56% daripada jumlah hasil,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Pembangunan Hartanah Jadi Pemacu Utama
Sementara itu, bahagian aset konsesi dan penyelenggaraan menyumbang RM6 juta atau 2% daripada keseluruhan hasil bagi suku berkenaan.
Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2026 (1HFY2026), Pesona Metro merekodkan hasil RM447.9 juta, meningkat 39% daripada RM321.7 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Dalam tempoh sama, PBT meningkat 123% kepada RM53.9 juta daripada RM24.2 juta manakala PATAMI naik 57% kepada RM26.4 juta berbanding RM16.8 juta dalam 1HFY2025.
Rumah Mampu Milik Terus Diberi Tumpuan
Sementara itu, Pengarah Urusan Pesona Metro, Wie Hock Beng berkata prestasi itu menunjukkan momentum pertumbuhan kumpulan terus kukuh, khususnya hasil daripada bahagian pembangunan hartanah yang semakin berkembang.
Menurutnya, peningkatan jumlah projek yang siap dan jualan di Gaya Kuasa telah meningkatkan sumbangan pendapatan bahagian berkenaan, sekali gus memberi keyakinan kepada kumpulan untuk menghadapi separuh kedua tahun kewangan 2026.
Beliau berkata, pembangunan rumah mampu milik kekal sebagai antara strategi pertumbuhan utama kumpulan berikutan permintaan yang berdaya tahan terhadap kediaman mampu milik dan segmen pertengahan.
Buku Tempahan Pembinaan RM2.2 Bilion
Memasuki separuh kedua FY2026, Pesona Metro berkata buku tempahan pembinaannya kini berjumlah RM2.2 bilion merangkumi lapan projek yang sedang berjalan dalam sektor runcit, hospital dan kediaman.
Buku tempahan itu diperkukuh selepas kumpulan memperoleh projek hospital swasta bernilai RM247.5 juta di Setia Alam daripada Setia Alam Medical Centre Sdn Bhd, anak syarikat Mega First Corporation Berhad pada Julai lalu.
Dengan gabungan projek pembangunan hartanah yang merangkumi REN Residensi, selain pendapatan konsesi stabil daripada asrama pelajar UniMAP sehingga 2036, kumpulan yakin kedudukan itu mampu menyokong pertumbuhan berterusan serta penciptaan nilai jangka panjang. - DagangNews.com




