
HASIL Kerajaan Persekutuan pada 2026 diunjur meningkat enam peratus lebih tinggi berbanding anggaran belanjawan dan 8.2 peratus lebih tinggi berbanding kutipan 2025 kepada RM363.6 bilion pada 2026.
Peningkatan itu didorong oleh prestasi ekonomi yang melampaui jangkaan serta purata harga minyak mentah dunia yang lebih tinggi.
Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan, hasil cukai terus menjadi penyumbang terbesar merangkumi 77.2 peratus atau RM280.7 bilion (12.8 peratus daripada KDNK), manakala hasil bukan cukai dijangka menyumbang RM82.9 bilion (22.8 peratus).
Cukai langsung dianggar meningkat 5.8 peratus kepada RM191 bilion didorong oleh kutipan cukai pendapatan yang lebih tinggi merangkumi cukai pendapatan syarikat (CITA), individu dan petroleum (PITA).
“Kutipan CITA diunjur meningkat empat peratus kepada RM101.7 bilion didorong pendapatan korporat yang stabil terutamanya dari sektor perkhidmatan dan pembinaan, selain disokong pelaksanaan e-Invois secara berfasa yang menghasilkan lebih 1.8 bilion transaksi sehingga Ogos 2026.
“Kutipan cukai pendapatan individu pula dijangka meningkat 7.2 peratus kepada RM48.8 bilion susulan pertumbuhan gaji yang stabil dan bilangan pembayar cukai yang meningkat, manakala PITA dijangka melonjak 13.7 peratus kepada RM20.5 bilion berikutan purata harga minyak mentah dunia yang dianggar meningkat kepada AS$85 setong,” katanya.
Tambah laporan itu, cukai tidak langsung diunjur melonjak 13.2 peratus kepada RM89.7 bilion berikutan pelaksanaan setahun penuh peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Cukai perkhidmatan dijangka meningkat 26.1 peratus kepada RM38.2 bilion, manakala cukai jualan dijangka meningkat 12.6 peratus kepada RM28.8 bilion dipacu jualan perdagangan borong dan runcit yang menggalakkan.
“Hasil bukan cukai pula diunjur meningkat 8.7 peratus kepada RM82.9 bilion, disumbangkan oleh dividen daripada Petronas sebanyak RM27 bilion, Khazanah (RM2 bilion) dan Bank Negara Malaysia (RM5 bilion).
“Kerajaan juga menjangkakan terimaan sumbangan RM7 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) seiring prestasi pelaburannya bagi membiayai sebahagian bayaran persaraan,” katanya.
Selain itu, sumbangan hasil berkaitan petroleum pada 2026 dijangka berkurang kepada 15.1 peratus daripada jumlah hasil ekoran dividen Petronas yang lebih rendah berbanding RM32 bilion pada 2025.
Namun begitu, hasil bukan petroleum dianggar meningkat kepada RM308.7 bilion didorong oleh kutipan cukai yang kukuh mencerminkan impak positif berterusan daripada langkah pembaharuan hasil negara.
Bagi prospek 2027, hasil kerajaan persekutuan diunjur terus berkembang 4.7 peratus kepada RM380.8 bilion disokong andaian pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan meskipun menyederhana.
Hasil cukai bagi 2027 dijangka berkembang 5.8 peratus kepada RM297.1 bilion yang merangkumi 78 peratus daripada jumlah hasil, manakala hasil bukan cukai diunjur meningkat 1.1 peratus kepada RM83.7 bilion.
“Cukai langsung pada 2027 diunjur meningkat 4.6 peratus kepada RM199.9 bilion disokong pendaftaran pembayar cukai yang menggalakkan susulan pelaksanaan e-Invois secara berfasa, dengan CITA kekal sebagai komponen terbesar berjumlah RM106.6 bilion.
“Kutipan cukai pendapatan individu pula dianggar meningkat 6.2 peratus kepada RM51.8 bilion selaras dengan pertumbuhan gaji berterusan, penguatkuasaan audit yang lebih tegas, serta kadar pengangguran yang rendah,” jelasnya.
Menurut laporan itu lagi, cukai tidak langsung pada 2027 diunjur melonjak 8.3 peratus kepada RM97.2 bilion dipacu aktiviti perniagaan dan penggunaan yang kukuh, terutamanya kutipan SST sebanyak RM73.3 bilion seiring penganjuran acara utama seperti Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026-2027 dan Sukan SEA ke-34.
Hasil berkaitan petroleum pada 2027 dijangka mencapai RM61.2 bilion (16.1 peratus daripada jumlah hasil) mengambil kira sumbangan dividen Petronas yang lebih tinggi sebanyak RM32 bilion, disokong penerimaan BNM (RM7 bilion), Khazanah (RM3 bilion) dan KWAP (RM6 bilion).
“Hasil bukan petroleum dianggar terus melonjak kepada RM319.6 bilion, membuktikan pembaharuan utama yang dilaksanakan berjaya meluaskan asas cukai dan memperkukuh keupayaan penjanaan hasil jangka sederhana.
“Kesimpulannya, strategi hasil yang kukuh menerusi rangka kerja Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) serta tadbir urus dan kebolehtentuan dasar yang mantap amat penting bagi memastikan kemampanan fiskal dan mendepani sebarang kejutan ekonomi pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN
The post Hasil kerajaan diunjur meningkat kepada RM363.6b pada 2026 appeared first on Utusan Malaysia.






