johardy30/04/2026 - 12:12 Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail pada majlis perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar pada 30 April 2026. - Gambar lamab fb HRH Crown Prince of Johor Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com ISKANDAR PUTERI 30 April - Kerajaan Persekutuan digesa mempercepatkan kelulusan bagi projek sistem transit rel yang akan diintegrasikan dengan projek Rapid Transit System (RTS) Link Johor Bahru–Singapura, kata Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
Baginda bertitah, perhatian dan sokongan yang lebih besar perlu diberikan kepada projek berkenaan bagi memastikan kesalinghubungan yang lancar serta mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Keperluan untuk memastikan Johor bersedia menghadapi peningkatan pergerakan orang ramai adalah mendesak.
“Saya berharap semua pertimbangan dan kelulusan dapat dipercepatkan supaya sistem pengangkutan awam negeri ini benar-benar dapat menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan Bangsa Johor,” titah baginda ketika merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar hari ini.

Projek RTS Link yang dijadual memulakan operasi pada 1 Januari 2027 merupakan perkhidmatan ulang-alik sejauh 4 kilometer yang menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands di Singapura.
Apabila beroperasi kelak, ia dijangka mengubah corak perjalanan kira-kira 350,000 pengguna yang menggunakan Tambak Johor setiap hari, yang merupakan antara lintasan sempadan paling sibuk di dunia.
Sistem itu direka untuk menampung sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah, dengan unjuran jumlah penumpang harian sekitar 40,000 orang.
ART Johor cadang jajaran tebatan kesesakan
Pada Februari, Bernama melaporkan kerajaan Johor telah mencadangkan pelaksanaan projek Automated Rapid Transit (ART) di beberapa jajaran utama terlebih dahulu, tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Persekutuan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata jajaran di kawasan Tebrau yang sering mengalami kesesakan lalu lintas wajar diberi keutamaan.
Beliau berkata langkah itu penting bagi mempercepat pelaksanaan projek ART yang akan membantu mengurangkan kesesakan di kawasan terlibat, selain operasi RTS Link yang dijangka bermula tahun depan.
“Kawasan Tebrau paling sesak. Kita mungkin boleh utamakan jajaran ini dahulu, kemudian fokus kepada yang lain.
“Sebagai contoh, jika jajaran melibatkan laluan kira-kira 20 kilometer, ia boleh dilaksanakan secara pakej dan kontraktor boleh bekerjasama untuk mempercepat pembinaan,” katanya. - DagangNews.com






